Rabu, 16 Oktober 2019 | 8:14pm
BEREGU campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying. - Foto Rosli Rahmat

Peng Soon-Liu Ying mara pusingan kedua Terbuka Denmark

KUALA LUMPUR: Beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying tidak berdepan masalah untuk menewaskan gandingan Jepun Kohei Gondo-Ayane Kurihara di pusingan pertama Terbuka Denmark di Copenhagen, sebentar tadi.

Mereka yang juga pilihan keempat kejohanan hanya memerlukan tempoh 37 minit untuk menewaskan lawan di ranking ke-33 dunia itu dengan 21-17, 21-14.

Ia sekali gus menyaksikan beregu campuran nombor satu negara itu mengekalkan rekod kemenangan 2-0 ke atas Gondo-Kurihara selepas turut menewaskan lawan sama di Terbuka Malaysia pada awal tahun ini.

Gandingan yang menduduki ranking keenam dunia itu dilihat lebih bersedia beraksi di kejohanan berstatus Super 750 itu selepas tersingkir awal pada Terbuka Korea dan China sebelum ini.

Pada pusingan kedua, Peng Soon-Liu Ying akan bertemu gandingan India, Pranaav Jerry Chopra-N Sikki Reddy.

Sementara itu hasrat perseorangan utama negara, Lee Zii Jia mara ke pusingan kedua tidak kesampaian selepas tewas kepada pemain berpengalaman China, Chen Long 18-21, 21-15, 16-21.

Begitupun, pemain berusia 24 tahun itu tetap memberi tentangan sengit dengan berjaya mengheret aksi berkenaan selama satu jam 12 minit.

Satu lagi beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing turut gagal ke pusingan kedua apabila tewas mudah 13-21, 15-21 di tangan gandingan Korea Selatan yang juga pilihan kelima kejohanan, Seo Seung Jae-Chae Yujung.

Berita Harian X