Isnin, 7 Oktober 2019 | 2:12pm
PEMAIN skuasy wanita negara, S Sivasangari. NSTP/Eizairi Shamsudin

Sivasangari lakar kejutan awal di Philadelphia

KUALA LUMPUR: Pemain skuasy wanita negara, S Sivasangari berjaya mengejutkan pemain nombor 13 dunia, Alison Waters dari England pada pusingan kedua Terbuka Amerika Syarikat yang berlangsung di Philadelphia, awal pagi ini.

Pemain negara yang kini berada di ranking 48 dunia itu berjaya menundukkan pemain pilihan ke-10 kejohanan dengan memberikan tentangan sengit dan mencatatkan keputusan 11-5, 4-11, 11-7, 11-9 dalam masa 41 minit.

Kejayaan yang dicatat Sivasangari itu juga melakar sejarah buat pemain berumur 20 tahun itu apabila kali pertama melangkah ke pusingan 16 terakhir dalam acara bertaraf Platinum PSA.

Pada pusingan ketiga esok, Sivasangari bakal diuji sekali lagi apabila bertemu pemain pilihan keenam, Sarah-Jane Perry dari England yang menewaskan pemain Kanada, Hollie Naughton 11-7, 11-6, 11-8 dalam pusingan kedua.

Pemenang tiga kali Terbuka Amerika Syarikat yang juga lapan kali merangkul gelaran dunia, Datuk Nicol Ann David dalam Twitter mengucapkan selamat maju jaya buat Sivasangari.

"Perlawanan yang hebat dengan kemenangan besar @sangari_99! Selamat maju jaya untuk esok," kata Nicol.

Sementara itu, naib juara Terbuka Malaysia baru-baru ini, Low Wee Wern terpaksa akur untuk pulang awal apabila tewas kepada pemain pilihan ke-13 Salma Hany dari Mesir dengan keputusan 5-11, 7-11, 2-11.

Berita Harian X