Sabtu, 5 Oktober 2019 | 7:20pm
KWAN Yoke Meng

Bangkit dalam acara individu

 

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad remaja kebangsaan, Kwan Yoke Meng mahu anak buahnya bangkit dalam acara individu selepas gagal mara ke pusingan kalah mati acara berpasukan campuran pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Kazan, Russia.

Pada edisi kali ini, Malaysia sekadar menamatkan saingan berpasukan campuran di tempat kesembilan.

Ini adalah kali pertama skuad remaja negara gagal melayakkan diri ke pusingan kalah mati sejak ia mula diperkenalkan pada 2000 apabila hanya muncul naib juara Kumpulan B.

Skrip yang sama turut dialami barisan pemain muda negara apabila gagal melepasi peringkat kumpulan pada Kejohanan Remaja Asia di Suzhou, China, Julai lalu.

Lebih malang ketika itu, Malaysia turut gagal meraih sebarang pingat dalam acara individu.

Justeru, Yoke Meng mahu barisan pemainnya melupakan kekecewaan berkenaan sebaliknya fokus bagi menghadapi saingan individu bermula Isnin ini.

"Kecewa memang kecewa kerana kita hampir melangkah ke suku akhir. Namun, kekalahan kepada Hong Kong dalam aksi terakhir kumpulan menutup peluang kita.

"Namun, saingan masih belum berakhir. Kita masih ada acara individu dan saya harap pemain kembali fokus dan lupakan kekecewaan dalam acara berpasukan campuran. 

Sandaran utama Malaysia untuk sekurang-kurangnya meraih pingat dalam acara individu menerusi beregu campuran, Yap Roy King-Gan Jin Err.

Roy King turut diletakkan harapan untuk menyerlah dalam acara beregu lelaki bersama gandingannya, Ooi Jhy Dar.

Berita Harian X