Khamis, 3 Oktober 2019 | 8:04pm
SETIAUSAHA Agung BAM, Datuk Kenny Goh. - Foto Owee Ah Chun

BAM rombak program remaja

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan melakukan rombakan membabitkan program peringkat remaja selepas prestasi hambar pemain muda negara dalam dua kejohanan utama tahun ini.

Pada Kejohanan Remaja Asia di Suzhou, China, Julai lalu, skuad remaja negara gagal meraih sebarang pingat selain buat kali pertama gagal melayakkan diri ke pusingan kalah mati saingan berpasukan campuran sejak ia mula diperkenalkan pada 2006.

Terbaru, Kejohanan Remaja Dunia yang sedang berlangsung di Kazan, Russia ketika ini menyaksikan Malaysia turut gagal buat kali pertama melepasi peringkat kumpulan saingan berpasukan campuran sejak 2000.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh, berkat badan induk itu sememangnya dalam proses untuk membuat rombakan terutama selepas tamat saingan di Suzhou.

"Apa yang berlaku di Kejohanan Remaja Dunia kali ini memang mengecewakan dan kita sememangnya dalam proses untuk membuat rombakan terutama selepas tamat Kejohanan Remaja Asia.

"Memandangkan ketika itu mereka dalam persiapan ke Kejohanan Remaja Dunia, jadi kami tidak mahu ganggu. Namun, selepas ini kita buat analisis bagi mengetahui punca masalah ini.

"Kita mahu tahu sama ada masalah berpunca daripada pemain atau jurulatih. Atau adakah ia berpunca daripada sistem latihan," kata Kenny kepada BH Sukan.

Katanya, sekiranya hasil kajian memerlukan rombakan turut dilakukan terhadap struktur kejurulatihan, badan induk itu tidak menolak untuk melakukan pertukaran jurulatih.

Kenny, berkata salah satu langkah penyelesaian yang sudah dikenal pasti adalah dengan menempatkan semua pemain Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara.

"Sekarang kita sudah memasuki fasa akhir perbincangan dengan MSN (Majlis Sukan Negara) dan KBS (Kementerian Belia dan Sukan) bagi membolehkan pemain SSBJ ditempatkan di ABM.

"Masalah yang mereka hadapi di SSBJ adalah tiada kemudahan dewan latihan yang mana pemain perlu bergerak dari satu tempat ke satu tempat untuk berlatih.

"Jadi, kita mahu tempatkan semua pemain remaja di ABM. Kita harap, kita boleh laksanakan perkara ini pada awal tahun depan, itu sasaran kita," katanya.

Berita Harian X