Isnin, 30 September 2019 | 8:45pm
AKSI pemain skuasy negara Ng Eain Yow (kiri) bersama Rachel Arnold (kanan) menunjukkan piala Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia 2019 di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil, semalam. - Foto BERNAMA

Pencapaian Skuasy Terbuka Malaysia beri sinar baharu

 

KUALA LUMPUR: Kejayaan berganda pemain negara, Ng Eain Yow dan Rachel Arnold pada edisi ke-39 Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia berakhir semalam kembali memberikan sinar buat negara selepas persaraan Datuk Nicol Ann David yang juga juara Terbuka Malaysia lapan kali Jun lalu.

Biarpun Terbuka Malaysia tidak lagi disenaraikan dalam Siri Dunia sejak 2014 dengan kini saingan lelaki diletakkan dalam acara PSA Challenger 30 dan PSA Challenger 20 bagi kategori wanita, saingan Terbuka Malaysia masih mempamerkan saingan sengit terutama bagi kategori lelaki.

Kali terakhir Malaysia memenanginya ialah menerusi Mohd Azlan Iskandar pada 2010.  

Eain Yow sebelum ini mencipta sejarah sebagai juara remaja dunia 2016 menamatkan penantian 18 tahun negara selepas menewaskan lawan dari Switzerland, Nicholas Mueller yang juga diletakkan pemain pilihan kedua kejohanan dengan keputusan 3-1.

"Sebenarnya sebelum perlawanan, saya ada rasa sedikit tertekan apabila membaca di media sosial orang ramai meletakkan harapan tinggi kepada saya selepas kali terakhir rakyat Malaysia memenanginya pada 2010.

"Namun begitu saya dapat menangani tekanan itu dengan baik dan berjaya membawa gelaran ini kepada rakyat Malaysia," kata Eain Yow yang berumur 21 tahun.

Pemain ranking 37 dunia itu yang akan menyertai Terbuka Amerika Syarikat bermula Sabtu ini, berkata kejayaan dicapai itu bakal menjadi pembakar semangat untuknya berusaha lebih baik bagi musim akan datang.

Sementara itu pencapaian Rachel yang menewaskan pemain lebih senior, Low Wee Wern 3-2 dalam perlawanan sengit selama 61 minit membuktikan kemampuannya sebagai antara pemain berpotensi menggantikan kekosongan Nicol.

Berada di ranking 46 dunia, Rachel bakal membaiki ranking dunianya selepas kejayaan di Terbuka Malaysia yang menjadi kejayaan terbesar dalam kariernya sebagai pemain.

 

 

Berita Harian X