Khamis, 26 September 2019 | 5:46pm
Lee Zii Jia (kiri) mahu mencipta kemenangan ke atas pilihan utama kejohanan, Kento Momota. - Arkib NSTP

Zii Jia sasar singkir Momota

KUALA LUMPUR: Perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mahu mencipta kemenangan ke atas pilihan utama kejohanan Terbuka Korea dari Jepun, Kento Momota pada pertemuan di suku akhir, esok. 

Zii Jia yang menewaskan pemain Denmark, Viktor Axelsen 21-18, 21-16, hari ini, tidak pernah merekodkan kemenangan ke atas Momota dalam tiga pertemuan mereka sebelum ini dan kali terakhir tewas 12-21, 20-22 di Malaysia Masters, Januari lalu.

"Esok saya akan bertemu Momota dan tidak pernah menang ke atasnya," kata Zii Jia. "Saya tahu sukar untuk menandinginya tetapi saya akan memberikan yang terbaik esok. Tiada yang mustahil."

Mengulas mengenai perlawanan menentang Axelsen, Zii Jia berkata: "Saya sangat gembira kerana dapat ke suku akhir dan meraih kemenangan ke atas idola saya, Axelsen. 

"Ia memberi banyak makna kepada saya tetapi Axelsen tidak berada di tahap kecergasan sebenar. Sudah tentu saya bermain sebaik mungkin dalam perlawanan ini dan saya harap dia dapat kembali dengan lebih kuat pada masa akan datang."

Sementara itu, seorang lagi pemain perseorangan lelaki, Liew Daren tewas di tangan pemain India, Kashyap Parupalli 21-17, 11-21, 21-12.

Turut menemui jalan keluar adalah beregu lelaki profesional, Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang kecundang di tangan pilihan utama dari Indonesia arkus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo 9-21, 20-22.

Berita Harian X