Rabu, 25 September 2019 | 5:49pm
Liew Daren (kiri) menyingkirkan Lin Dan seawal pusingan pertama Terbuka Korea Selatan di Incheon, hari ini.

Daren 'tapau' Lin Dan

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan profesional negara, Liew Daren mengejutkan jaguh China, Lin Dan selepas menyingkirkan juara Olimpik dua kali itu seawal pusingan pertama Terbuka Korea Selatan di Incheon, hari ini.

Pemain di ranking ke-33 dunia itu menundukkan juara dunia lima kali itu 21-19, 21-14 dalam tempoh 43 minit untuk kemenangan sulungnya daripada tiga pertemuan menentang bintang berusia 35 tahun itu.

Kemenangan itu membolehkan dia menempah pertemuan dengan wakil India, Kashyap Parupalli di pusingan kedua, esok.

Turut mengiringi Daren adalah seorang lagi pemain perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia.

Pemain berusia 21 tahun itu berada dalam kelas yang tersendiri apabila mudah menundukkan pemain Thailand, Suppanyu Avihingsanon 21-7. 21-15.

Sementara itu, pertemuan 'Malaysia' menyaksikan beregu profesional negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong menundukkan rakan senegara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi 16-21 21-13 21-16 dalam tempoh 46 minit.

Berita Harian X