Selasa, 10 September 2019 | 8:20pm
Penaung Persekutuan Sukan Komanwel, Prince Edward, (dua dari kanan) beramah mesra bersama bekas pemain badminton negara, Datuk Lee Chong Wei (tiga dari kiri) sambil diiringi Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (kanan) di Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil. - NSTP/Azhar Ramli

'Prestasi tak menentu Zii Jia perkara biasa'

KUALA LUMPUR: Prestasi tidak menentu dialami oleh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia ketika ini adalah perkara biasa dalam sukan badminton, kata bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei.

Menurutnya, dia turut menghadapi situasi sama ketika menjadi pemain pada usia muda seperti itu.

“Zii Jia bergelut memang biasa. Masa umur saya seperti dia pun, saya begitu juga. Sejak Januari hingga sekarang dia menyertai banyak kejohanan. Dia juga manusia biasa, badan dia boleh tahan tapi mental letih.

“Zii Jia kena rehat dan lihat balik persembahan dia,” kata Chong Wei ketika ditemui selepas majlis lawatan Putera Edward Earl of Wessex di Kuala Lumpur Sports City (KLSC), Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai kegagalan Zii Jia yang juga perseorangan lelaki nombor satu negara itu mempertahankan kejuaraan Terbuka Taiwan minggu lalu apabila tumbang di pusingan kedua, Chong Wei berharap Zi Jia tidak putus asa.

“Kita tahu ketika Terbuka Taiwan dia bukan dalam prestasi terbaik. Mungkin dia tak boleh fokus, dulu saya juga mempunyai masalah ini dan tak semua kejohanan kita boleh berikan yang terbaik.

“Jangan putus asa apabila tewas di Terbuka Taiwan kerana lawan dia bukan pemain yang bagus. Ini adalah permulaan untuk belajar daripada kesilapan’” katanya.

Dalam masa sama, Chong Wei berharap Zii Jia akan mencapai tahap terbaiknya di usia 25 tahun seperti dirinya.

"Saya harap pada Sukan Olimpik 2020, Zii Jia boleh dapat pingat tapi jika tidak dapat fokus, mungkin pada tahun 2024. Masa itu dia sudah matang. Dia kena bantu diri sendiri dan dalam masa sama, saya akan kongsi pengalaman saya beraksi di Sukan Olimpik dengan dia," katanya.

820 dibaca
Berita Harian X