Isnin, 9 September 2019 | 10:45am
Nadal memegang trofi selepas meraih gelaran Grand Slam ke-19 pada Terbuka Amerika Syarikat. - Foto AFP
Nadal menewaskan Daniil Medvedev 7-5, 6-3, 5-7, 4-6, 6-4 dalam aksi final Terbuka Amerika Syarikat, pagi ini. - Foto EPA

Nadal ketepi Medvedev untuk juarai Terbuka AS 2019

NEW YORK: Rafael Nadal meraih gelaran Grand Slam ke-19 selepas membenam cabaran sengit pemain tenis Russia, Daniil Medvedev 7-5, 6-3, 5-7, 4-6, 6-4 dalam aksi final Terbuka Amerika Syarikat (AS), pagi ini.

Pemain kidal Sepanyol berusia 33 tahun itu kekurangan satu gelaran dimiliki Roger Federer dan muncul pemain kedua paling tua muncul juara di New York dalam era moden sejak dilakukan Ken Rosewall yang muncul juara pada usia 35 tahun pada 1970.

Nadal menerima hadiah wang tunai AS$3.85 juta (RM15 juta) di Stadium Arthur Ashe dan menambah gelaran keempat Terbuka AS yang pernah dimenangi pada 2010, 2013 dan 2017.

Nadal, juga tampil buat kali kelima di final Terbuka AS dan kali ke-27 final acara Grand Slam selain muncul pemain perseorangan lelaki pertama meraih lima gelaran major selepas usia melebihi 30 tahun.

Namun kejayaan pagi tadi bukan datang bergolek selepas dia bergelut dan hampir muncul pemain pertama tersingkir di final selepas mendahului dua set sejak kali terakhir dialami Frederick Schroeder pada 1949.


Daniil Medvedev dan Nadal bertarung selama empat jam 50 minit. - Foto AFP

Bertarung selama empat jam 50 minit, aksi final pagi tadi hanya kurang empat minit untuk menyamai aksi final paling lama di Terbuka AS seperti dilakukan Mats Wilander ketika muncul juara pada 1988 dan Andy Murray pada 2012.

Kejayaan Nadal itu yang kedua dalam acara Grand Slam tahun itu selepas sebelumnya menjuarai Terbuka Perancis Jun lalu.

Medvedev, 23, selaku pilihan kelima yang julung kali bersaing di final Grand Slam gagal memahat nama sebagai pemain paling muda muncul juara sejak kali terakhir dilakukan Juan Martin del Potro di Terbuka AS pada 2009.

Medvedev, juga kempunan membantu mengharumkan nama baik negaranya untuk muncul pemain pertama Russia memenanginya sejak kali terakhir dilakukan Marat Safin di Terbuka Australia 2005 dan di Terbuka AS pada 2000.

Perlawanan Terbuka AS muism ini juga merakam rekod kedatangan tertinggi sebanyak 737,872 penonton di Flushing Meadows itu. – AFP


Aksi Nadal ketika mengembalikan hantaran kepada Daniil Medvedev. - Foto AFP

PROFIL

Nama: Rafael Nadal Parera

Asal: Sepanyol

Tarikh lahir: 3 Jun 1986 (33 tahun)

Tinggi: 1.86m

Kerjaya profesional: 2001

Ranking terkini : 2

Gelaran Grand Slam: 19 kali

Juara Terbuka Australia (2009), Terbuka Perancis (2005, 2006, 2007, 2008, 2010, 2011, 2012, 2013, 2014, 2017, 2018, 2019), Wimbledon (2008, 2010), Terbuka AS (2010, 2013, 2017, 2019)

Gelaran keseluruhan ATP : 84

Sukan Olimpik 2016: (emas beregu)

Sukan Olimpik 2008: (emas perseorangan)

Berita Harian X