Jumaat, 6 September 2019 | 11:15am
PEMAIN tenis Amerika Syarikat, Serena Williams. - Foto AFP

Serena, Andreescu bakal berentap di final Terbuka AS

NEW YORK: Serena Williams melangkah ke final Terbuka Amerika Syarikat sekali lagi dengan rekod kemenangan kali ke-101 selepas menyingkir Elina Svitolina 6-3 6-1, sebentar tadi.

Sejak tampil semula selepas rehat melahirkan anaknya, Serena kian hampir menyamai rekod milik Margaret Court dengan 24 kemenangan acara Grand Slam dan berpeluang menambah gelaran di hadapan penyokong sendiri apabila berentap dengan bintang remaja dari Kanada, Bianca Andreescu di final Ahad ini.

Pemain berusia 19 tahun Kanada itu mara selepas membenam Belinda Bencic 7-6 (7/3), 7-5 sebentar tadi.

Tahun lalu, Serena terbabit dalam kontroversi dengan pegawai pertandingan yang menyaksikan dia tewas di tangan Naomi Osaka di Stadium Arthur Ashe.

Serena juga tewas dua kali di Wimbledon sejak kembali aktif.

Namun kali ini, pemain berusia 37 tahun itu berpeluang di final yang bakal berdepan Andreescu dari Kanada.

"Tidak sangka sekali lagi melangkah ke final, tapi saya tidak menjangkakan sesuatu,” katanya.

"Saya banyak peluang melepasi halangan di gelanggang.

"Jika diimbau semula sepanjang kerjaya saya, pemain yang saya sudah hadapi, ia amat menarik sekali saya boleh harunginya ke tahap ini.”

Pertembungan separuh akhir itu menyaksikan aksi klasik menentang Svitolina, seorang pemain tenis wanita yang memiliki ketajaman permainan tersendiri.

Serena meskipun tidak lagi memilik aksi terbaiknya dalam cuaca panas seperti sediakala, namun bekas pemain nombor satu dunia itu tahu dan bijak menggunakan setiap kesempatan untuk mencuri mata kemenangan.

"Saya tidak fikir dia beraksi di tahap tertingginya pada awal perlawanan hari ini, saya rasa dia tahu apa yang perlu dilakukan," kata Svitolina. 

"Dia masih memiliki pukulan padunya sepanjang perlawanan ini.”

"Serena sentiasa meningkatkan permainan tepat pada waktunya.”

Pilihan kelima dari Ukraine itu juga banyak peluang merakam kemenangan namun pukulannya gagal menepati ke sasaran seperti diharapkan.

Serena mengasak Svitolina dengan pukulan padu untuk merakam kemenangan ke-101 di Terbuka AS sekaligus menyamai rekod Chris Evert di Flushing Meadows itu. – Reuters

 

398 dibaca
Berita Harian X