Isnin, 2 September 2019 | 8:47am
BINTANG tenis Switzerland, Roger Federer. - Foto AFP

Federer bersemangat tambah rekod gelaran

NEW YORK: Bintang tenis Switzerland, Roger Federer terus bersemangat untuk memburu gelaran ke-21 Grand Slam dengan menjadikan kegagalan lalu sebagai suntikan motivasi menghadapi rintangan seterusnya dalam Terbuka Amerika Syarikat (AS).

Federer, 37, yang juga juara lima kali Terbuka AS merakam sejarah tersendiri untuk melangkah ke saingan suku akhir kali ke-56 apabila menyingkirkan pemain Belgium di rangking ke-15, David Goffin 6-2 6-2, 6-0 dalam masa 79 minit semalam.

"Ia detik istimewa dengan rekod penampilan ini,” kata Federer.

"Satu perasaan yang sangat bagus dapat tampil kali ke-56 dalam suku akhir Grand Slam ini.

"Ia adalah sasaran awal dalam pertandingan ini, cuba melakukannya sekali lagi dan ya, saya rasa tepat masanya untuk saya jadikan ia sebagai motivasi.

"Kemenangan ini membantu saya. Pada masa sama saya cuba mengingatkan diri sendiri ia hanya satu kisah yang dah berlalu. Apa yang berlaku di gelanggang hari ini lebih penting.”

Federer akan tampil buat kali ke-13 di suku akhir Terbuka AS esok (rekod Jimmy Connors 17 kali) menentang pemain Bulgaria, Grigor Dimitrov yang berada di ranking ke-78 dunia.

Mencipta rekod bukan masalah buat Federer, seperti dilakukannya pada 2009 ketika menjuarai Terbuka Perancis sekali gus menyamai rekod Pete Sampras.

Pada 2017, Federer memecahkan rekod milik Bjorn Borg apabila muncul juara Wimbledon kali kelapan.

"Kadangkala ia memang meningkatkan motivasi saya. Pencapaian itu juga mendorong saya. Kadangkala ia juga menekan saya untuk berusaha lebih keras lagi,” kata Federer.

Selepas bergelumang 20 tahun di gelanggang tenis, kini jelas Federer mahu memburu untuk merakam rekod baharu di Grand Slam lelaki dengan sekali lagi muncul juara di Terbuka AS yang pertama kali diraihnya pada 2008 di bumi New York ini.

Sementara  itu, pilihan kelima Russia, Daniil Medvedev buat pertama kali melangkah ke suku akhir selepas menewaskan wakil  Jerman, Dominik Koepfer 3-6, 6-3, 6-2, 7-6 (7/2).

Medvedev, yang melangkah ke Terbuka AS dengan bekalan selaku juara Cincinnati bakal berdepan sama ada Stan Wawrinka atau Novak Djokovic esok. – AFP

Keputusan (perseorangan lelaki):

Daniil Medvedev (RUS) mn Dominik Koepfer (GER) 3-6, 6-3, 6-2, 7-6 (7/2)

Andrey Rublev (RUS) mn Nick Kyrgios (AUS) 7-6 7-6(5) 6-3

Daniil Medvedev (RUS) mn Dominik Koepfer (GER) 3-6 6-3 6-2 7-6

Roger Federer (SUI) mn David Goffin (BEL) 6-2 6-2 6-0

Grigor Dimitrov (BUL) mn Alex De Minaur (AUS) 7-5 6-3 6-4 

 

 

 

Berita Harian X