Ahad, 25 Ogos 2019 | 9:48am
Novak Djokovic. - Foto USA TODAY Sports

Djokovic yakin mampu saingi rekod Federer

NEW YORK: Juara bertahan, Novak Djokovic menjadikan dakwaan peminat betapa dia mampu mengatasi rekod Roger Federer sebagai inspirasi menjelang Terbuka Amerika Syarikat (AS) yang bermula esok.

Bagaimanapun, bintang Serbia berusia 32 tahun itu mengakui perlu bekerja keras sebelum mencapai rekod berkenaan dan perlu memulakan usaha itu di New York sebaik mungkin.

"Saya sedar dengan perkara itu. Sudah tentu saya memikirkannya dan tidak boleh menafikan anggapan orang mengenai perkara itu,” kata Djokovic.

"Tapi pada masa sama, masih terlalu panjang perjalanan yang perlu saya tempuhi. Ia juga menuntut satu tahap tanggung jawab berbeza kerana ia membabitkan sasaran yang memang saya idamkan.

"Berlaku sedikit perubahan sejak sepuluh tahun kebelakangan ini, tapi saya masih terasa cergas baik di dalam mahupun di luar gelanggang. Saya kekal dengan motivasi mengejar impian itu...terutama ketika ini, impian saya hanya untuk menambah gelaran Grand Slam."

Djokovic, yang menewaskan Federer dalam final lima set penuh epik di Wimbledon bulan lalu untuk gelaran Grand Slam ke-16, masih ketinggalan empat gelaran berbanding bintang Switzerland berusia 38 tahun itu manakala bintang Sepanyol, Rafael Nadal sudah memiliki 18 gelaran.

Tapi Djokovic sudah berjaya menakluk empat daripada lima gelaran Grand Slam terbaru yang disertainya termasuk kejayaan ke atas Juan Martin del Potro di final Terbuka AS tahun lalu yang juga gelaran ketiganya di New York selepas muncul juara pada 2011 dan 2015.

Djokovic, akan memulakan pemburuan gelaran perseorangan 2019 esok dengan menentang pemain Sepanyol yang berada di ranking ke-76, Roberto Carballes Baena.

"Saya tidak tercicir banyak perlawanan musim ini jadi saya amat gembira dan yakin mampu meneruskan cabaran di sini.

"Kamu hanya perlu bersedia berdepan suasana perlawanan di gelanggang berbeza dan saya rasa ia bagus untuk sukan ini jika kita dapat terus bertarung dalam suasana gelanggang yang berbeza dalam empat kejohanan Grand Slam berbeza.” – AFP

253 dibaca
Berita Harian X