Sabtu, 24 Ogos 2019 | 11:03am
Serena Williams. - Foto AFP

Laluan getir tunggu Serena di Terbuka AS

NEW YORK: Serena Williams kekal menjadi tumpuan di Terbuka Amerika Syarikat (AS) tatkala dia memburu sejarah terbesar kejohanan tenis ketika pencabar utama lain turut mengintai gelaran sama tahun ini.

Serena, 37, pasti menjadi tumpuan di Flushing Meadows Isnin ini apabila berentap dengan bintang Russia, Maria Sharapova di pusingan pertama.

"Sudah tentu saya akan menonton perlawanan itu,” kata juara bertahan yang juga pilihan utama, Naomi Osaka, yang menewaskan Serena di final Terbuka AS tahun lalu.

"Saya rasa setiap orang di New York akan menontonya.

"Saya tidak terkejut mengenainya kerana setiap kali Grand Slam, pasti ada dramanya. seperti di pusingan pertama ini. Oh tuhan. Inilah undian untuk kejohanan ini.”

Serena akan memburu gelaran perseoarangan Grand Slam ke-24 untuk menyamai rekod milik Margaret Court.

Serena, pilihan kelapan dijangka akan bertemu pilihan kedua dari Australia, yang juga juara Terbuka Perancis, Ashleigh Barty di suku akhir selepas tidak mengambil bahagian di Terbuka Australia 2017 susulan mengandung dan kemudian tewas di tangan Osaka tahun lalu.

Barty, Osaka, Halep dan pilihan ketiga dari Republik Czech, Karolina Pliskova, masing-masing mengintai gelaran Grand Slam pertama mereka dan pada masa sama muncul seteru utama Serena di New York kali ini.

"Pada peringkat ini, saya rasa perlu memikirkan hal lain dan melihat sasaran lebih besar, mungkin mendapatkan gelaran ke-24 dalam kerjaya,” kata Serena baru-baru ini.

"Ada perkara lain yang lebih penting dalam hidup saya dan sudah tentu tenis perkara lebih utama kepada saya...tapi ada perkara lain yang lebih utama dalam hidup ini. Saya rasa periuk nasi perlu diutamakan juga.”

Serena tidak beraksi di final WTA Toronto baru-baru ini akibat kecederaan belakang dan membolehkan pemain tuan rumah, Bianca Andreescu muncul juara.

"Sudah pasti dia boleh melakukannya di sini jika dia benar-benar cergas,” kata Andreescu.

Tahun lalu, Osaka muncul juara selepas pengadil kejohanan, Carlos Ramos mengenakan penalti ke atas Serena dan pengadil itu kemudian bersumpah dia tidak akan menjadi pengadil dalam perlawanan yang membabitkan Serena atau kakaknya, Venus Williams pada kejohanan tahun ini.

Osaka pula melangkah lebih yakin kali ini meskipun berdepan penyingkiran seawal pusingan pertama di Wimbledon.

"Tahun lalu, saya kalah tiga perlawanan sederet sebelum melangkah ke sini.

"Tahun ini saya berjaya mara dalam dua suku akhir dan ini membuatkan saya lebih yakin kali ini,” katanya. – AFP

 

268 dibaca
Berita Harian X