Khamis, 22 Ogos 2019 | 11:33pm
Gambar fail, pasangan bergu campuran negara, Chan Peng Soon (kiri) dan Goh Liu Ying. - Foto Rosli Rahmat

Liu Ying sedar laluan berliku di suku akhir

KUALA LUMPUR: Pemain beregu campuran profesional negara, Goh Liu Ying menjangkakan pertembungan suku akhir Kejohanan Badminton Dunia di Basel, Switzerland esok sebagai sengit. 

Liu Ying yang bergandingan dengan Chan Peng Soon dijadual bertemu gandingan Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino selepas menewaskan rakan sepasukan dari negara matahari terbit itu, Takuro Hoki-Wakana Nagahara 17-21, 21-13, 21-14 di pusingan ketiga, hari ini. 

Pemain berusia 30 tahun itu turut mengakui, mereka berdepan sedikit kesukaran pada perlawanan selama satu jam tiga minit itu apatah lagi kelebihan di gelanggang jelas dikuasai Hoki-Nagahara. 

"Hari ini (prestasi) saya dan Peng Soon tidak begitu bagus dan esok tentunya bertambah sengit," kata Liu Ying yang dijadual bertemu pilihan ketiga kejohanan itu. 

"Apa yang saya lihat, di dalam gelanggang Jepun mempunyai kelebihan. Walaupun begitu, sekiranya kami bermain dengan bagus, kami juga mempunyai peluang yang sama. Jadi kami perlu mengekalkan prestasi."

Rekod pertemuan menyaksikan Peng Soon-Liu Ying memenangi empat daripada enam pertemuan dengan Watanabe-Higashino. 

Kali terakhir kedua-dua pasangan itu bertemu adalah di Terbuka Jepun bulan lalu yang menyaksikan Peng Soon-Liu Ying memenangi perlawanan menerusi straight set.

 

 

1870 dibaca
Berita Harian X