Rabu, 21 Ogos 2019 | 9:38pm
BEREGU campuran negara, Tan Kian Meng bersama Lai Pei Jing.

Dendam Kian Meng-Pei Jing

 

KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing mahu melunaskan dendam apabila bertemu pilihan keempat dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai pada aksi pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia 2019, esok.

Terdahulu, Kian Meng-Pei Jing buat kali pertama berjaya menempatkan diri dalam kelompok 16 terbaik Kejohanan Dunia selepas menewaskan pasangan England, Ben Lane-Jessica Pugh 21-19, 21-19 dalam aksi pusingan kedua kejohanan yang berlangsung di Basel, Switzerland, hari ini.

Dechapol-Sapsiree pula mara hasil kemenangan ke atas Rodion Alimov-Alina Davletova dari Russia  21-12, 21-9.

Ia akan menjadi pertemuan keenam buat kedua-dua pasangan itu esok dengan rekod kemenangan memihak beregu Thailand berkenaan 3-2.

Kali terakhir mereka bertemu menyaksikan Kian Meng-Pei Jing tewas ketika saingan Terbuka Singapura, April lalu.

“Kami cukup gembira kerana berjaya melepasi pusingan 32 terbaik dan ini kali pertama akan beraksi di pusingan 16 terbaik dalam Kejohanan Dunia. Diharapkan kami boleh bermain lebih baik esok kerana hari ini merasakan belum pada tahap terbaik.

“Kami teruja untuk bertemu dengan pasangan Thailand itu. Kami pernah menang ke atas mereka dua kali tetapi kali terakhir kami tewas, jadi kami harap mampu melakukan sesuatu yang menebus kekalahan itu.

“Siapa yang mampu mengawal tekanan dan keadaan gelanggang dengan baik, pasti akan meraih kemenangan,” kata Pei Jing kepada BH Sukan.

1857 dibaca
Berita Harian X