Selasa, 20 Ogos 2019 | 7:44pm
PEMAIN perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia. - Foto AFP

Zii Jia cemas sebelum mara aksi kejohanan dunia

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia berdepan detik cemas sebelum mengesahkan tempat ke pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia 2019 di Basel, Switzerland, sebentar tadi.

Zii Jia, 21, menerima tentangan sengit daripada lawannya dari China, Lu Guang Zu yang menyaksikan dia tewas 12-21 di set pertama sebelum bangkit memenangi dua set berikutnya 21-14, 21-15 dalam aksi pusingan kedua.

Pemain ranking ke-13 dunia itu akan menentang pemenang perlawanan antara pemain Jepun, Kenta Nishimoto dengan Wang Tzu Wei dari Taiwan bagi perebutan tempat ke suku akhir.

Sementara itu, nasib tidak menyebelahi beregu lelaki profesional negara, Arif Latif-Nur Azryn Ayub apabila ditunjukkan jalan keluar di pusingan pertama susulan kekalahan di tangan pasangan Russia, Vladimir Ivanov-Ivan Sozonov.

Mereka terpaksa akur apabila tewas 12-21, 19-21 di tangan Ivanov-Sozonov yang akan membuat perhitungan dengan pilihan ketiga dari Jepun, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda di pusingan kedua.

Berita Harian X