Isnin, 19 Ogos 2019 | 11:57am
Daniil Medvedev dari Russia memperagakan trofi yang dimenanginya pada final Masters Cincinnati menentang David Goffin dari Belgium. - Foto AFP

Medvedev akhiri badi final

CINCINNATI: Daniil Medvedev, pada percubaan ketiganya selepas tewas di dua final ATP sebelum ini, menewaskan David Goffin 7-6 (7/3), 6-4 untuk gelaran Masters Cincinnati.

Pilihan kesembilan dari Russia itu menjulang trofi Masters 1000 pertamanya selepas muncul naib juara di belakang Nick Kyrgios di Washington dan Rafael Nadal di Montreal hujung minggu lalu.

“Ini adalah tiga minggu terbaik dalam hidup saya,” kata Medvedev. “Mental saya pada tahap terbaik, servis saya juga terbaik dan permainan saya cukup konsisten.

“Tiada perlawanan yang buruk, saya harap dapat meneruskan rentak ini untuk tempoh beberapa minggu akan datang.”

Medvedev, yang baru saja menyertai kelompok 10 terbaik ATP, kini bakal melonjak ke tangga kelima selepas keputusan cemerlang sepanjang tiga minggu ini.

Selepas mengejutkan Novak Djokovic di separuh akhir, Medvedev mengekang asakan lawan dari Belgium, Goffin untuk memenangi perlawanan ke-31nya di atas gelanggang permukaan keras.

Medvedev kini antara pemain pilihan untuk menjuarai Terbuka Amerika Syarikat, Grand Slam terakhir musim ini yang akan berlangsung di Flushing Meadows minggu depan. – AFP

Berita Harian X