Jumaat, 21 Jun 2019 | 9:37pm
PEMAIN badminton negara, Soong Joo Ven. - Foto BERNAMA
PEMAIN badminton negara, Soong Joo Ven. - Foto BERNAMA

Joo Ven ketuai kemaraan pemain negara

KUALA LUMPUR: Pertembungan separuh akhir Siri Antarabangsa Malaysia 2019 di Ipoh, esok akan menemukan empat pemain negara diketuai pilihan utama Soong Joo Ven yang menewaskan penyandang juara dari Indonesia, Gatjra Piliang Fiqihila Cupu di suku akhir, hari ini.

Turut mara dalam acara perseorangan lelaki itu ialah pilihan kedua kejohanan, Cheam June Wei yang menyingkirkan seorang lagi pemain Indonesia, Yonathan Ramlie dengan keputusan 24-22, 21-9.

Menghuni ranking 42 dunia, Joo Ven tidak berdepan masalah untuk menewaskan Gatjra yang diletakkan pilihan keenam dengan keputusan straight set, 21-12, 21-7 dalam tempoh 31 minit.

Lawan Joo Ven di peringkat separuh akhir ialah seorang lagi pemain negara Lim Chong King, 19, yang membuat kejutan apabila menewaskan pemain pilihan ketiga dari Kanada, Xiaodong Sheng juga dengan keputusan straight set 22-20, 21-16.

Sementara itu, lawan June Wei di peringkat empat terbaik ialah Tan Jia Wei yang juga pilihan ke-11.

Jia Wei mara selepas menewaskan rakan senegara yang diletakkan pilihan kelapan, Lim Chi Wing dengan keputusan straight set 21-14, 21-12 pada aksi di Arena Badminton itu.

Dalam acara perseorangan wanita, pemain negara yang juga juara bertahan S Kisona meneruskan kemaraan ke separuh akhir selepas menewaskan pilihan keenam, Jaslyn Hooi Yue Yann dari Singapura 12-21, 21-13, 21-16.

Lawan Kisona berikutnya ialah Sri Fatmawati dari Indonesia yang mara selepas mengejutkan wakil negara yang juga pilihan kedua kejohanan, Ho Yen Mei 21-17, 21-18.

Seorang lagi pemain negara, Eoon Qi Xuan turut mara selepas menewaskan pemain Singapura, Grace Chua 21-14, 16-21, 21-9.

Berita Harian X