Rabu, 24 April 2019 | 7:50pm
GANDINGAN beregu lelaki, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik berpeluang membalas dendam ke atas bekas juara dunia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan. - NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

Peluang buat Aaron-Wooi Yik balas dendam

 

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berpeluang membalas dendam ke atas bekas juara dunia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan apabila mereka bertemu pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Asia (BAC), esok.

Pasangan muda negara itu sebelum ini terpaksa akur kepada Ahsan-Hendra yang menafikan peluang mereka muncul juara Seluruh England 2019 apabila tewas dalam aksi final, bulan lalu.

Terdahulu, Aaron-Wooi Yik yang kini menghuni ranking ke-15 dunia mara ke pusingan kedua selepas menewaskan Kittinupong Kerden-Dechapol Puavaranukroh dari Thailand 21-15, 19-21, 21-17.

"Kami bermain dengan baik di set pertama tetapi hilang fokus pada set kedua. Namun, kami berjaya menemui rentak kami semula di set ketiga sekali gus memenangi perlawanan.

"Untuk esok, sudah pasti ia akan menjadi perlawanan yang sukar kerana semua tahu Ahsan-Hendra adalah beregu berpengalaman, kami juga kalah kepada mereka final Seluruh England.

"Namun, kami fikir peluang adalah 50-50. Sudah pasti kami akan buat persiapan terbaik untuk memenangi perlawanan esok," kata Aaron kepada BH Sukan.

Ahsan-Hendra yang mara ke final Terbuka Singapura, dua minggu lalu mara selepas menundukkan beregu Taiwan, Liao Min Chun-SU Ching Heng 21-15, 21-16.

Sementara itu, satu lagi beregu lelaki negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin turut melangkah ke pusingan kedua selepas menewaskan Lin Shang Kai-Tseng Min Hao dari Taiwan 21-12, 21-12 dan akan bertemu pasangan China yang juga pilihan kedua, Li Junhui-Liu Yuchen esok.

Bagaimanapun nasib berbeza dialami dua beregu lelaki profesional apabila Mohd Arif Latif-Nur Azryn Ayub berjaya mengesahkan tempat ke pusingan kedua selepas menewaskan Inkarat Apisuk-Tanupat Viriyangkura 21-14, 21-10.

Namun pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016, Goh V Shem-Tan Wee Kiong ditunjukkan jalan keluar di pusingan pertama susukan kekalahan di tangan Lu Ching Yao-Yang Po Han dari Taiwan 15-21, 21-11, 8-21.

Dalam acara perseorangan, Soniia Cheah mara ke pusingan seterusnya selepas menewaskan pemain Indonesia, Fitriani Fitriani 21-12, 21-10 manakala wakil tunggal beregu wanita negara, Anna Ching-Lim Chiew Sien meneruskan kemaraan dengan menundukkan beregu Indonesia, Yulfira Barkah-Jauza Fadhila Sugiarto 21-10, 21-17.

Berita Harian X