Jumaat, 5 April 2019 | 11:21pm
Lin Dan ketika aksi menentang pemain Jepun, Kanta Tsuneyama pada perlawanan suku akhir Terbuka Malaysia di Stadium Axiata, Bukit Jalil. - NSTP/Syarafiq Abd Samad
Lin Dan ketika aksi menentang pemain Jepun, Kanta Tsuneyama pada perlawanan suku akhir Terbuka Malaysia di Stadium Axiata, Bukit Jalil. - NSTP/Syarafiq Abd Samad
Chen Long ketika beraksi menentang pemain India, Kidambi Srikanth pada perlawanan suku akhir Terbuka Malaysia di Stadium Axiata, Bukit Jalil. - NSTP/Syarafiq Abd Samad
Chen Long ketika beraksi menentang pemain India, Kidambi Srikanth pada perlawanan suku akhir Terbuka Malaysia di Stadium Axiata, Bukit Jalil. - NSTP/Syarafiq Abd Samad

Lin Dan, Chen Long mara separuh akhir Terbuka Malaysia

KUALA LUMPUR: Satu tempat sudah terjamin buat China dalam aksi final perseorangan lelaki Terbuka Malaysia apabila tiga wakil negara itu berjaya mengesahkan tempat ke separuh akhir, hari ini.

Juara Olimpik dua kali, Lin Dan yang menewaskan pemain Jepun, Kanta Tsuneyama 16-21, 21-17, 21-10 di suku akhir, hari ini akan membuat perhitungan dengan rakan senegara, Shi Yuqi esok bagi merebut tempat ke final.

Terdahulu, Yuqi yang juga pemain nombor dua dunia tidak berdepan masalah untuk mengesahkan tempat ke kelompok empat terbaik apabila menewaskan Kenta Nishimoto dari Jepun, 21-17, 21-16 dalam satu lagi aksi suku akhir.

Lin Dan turun esok dengan misi memburu gelaran kedua Terbuka Malaysia selepas memenanginya pada 2017 manakala Yuqi belum pernah mara ke final kejohanan itu.

Sementara itu, seorang lagi pemain China, Chen Long turut menyalakan impian bagi merekodkan gelaran kedua selepas turut mara ke separuh akhir.

Kejayaan itu hadir selepas juara Olimpik Rio 2016 itu mengatasi pemain India, K Srikanth 21-18, 21-19.

"Saya pernah tewas kepada Srikanth sebelum ini. Jadi saya memang buat persiapan terbaik. Ia perlawanan yang sukar hari ini kerana masing-masing sentiasa fokus," kata Chen Long yang menjuarai Terbuka Malaysia buat kali pertama pada 2015.

Chen Long akan membuat perhitungan dengan bintang muda Indonesia, Jonatan Christie yang menyingkirkan pemain Denmark, Viktor Axelsen 21-18, 21-19.

Pada aksi pusingan kedua, semalam, Jonatan cemerlang apabila menyingkirkan finalis tahun lalu yang juga juara dunia 2018, Kento Momota dari Jepun.

Sementara itu, dalam saingan beregu lelaki, gandingan nombor satu dunia dari Indonesia, Marcus Fernaldo Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo terus bergelut dengan prestasi tidak menentu apabila tewas di suku akhir.

Mereka yang diberi jolokan 'The Minions' dikecewakan rakan senegara, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto apabila tewas 21-23, 21-19, 18-21.

Pada saingan Seluruh England, bulan lalu, mereka ditunjukkan jalan keluar di pusingan pertama selepas tunduk kepada pasangan China, Liu Cheng-Zhang Nan.

Berita Harian X