Khamis, 4 April 2019 | 6:23pm
BEREGU campuran negara, Tan Kian Meng bersama Lai Pei Jing ketika beraksi menentang pasukan India, Pranaav Jerry Chopra dan Reddy N Sikki pada hari ketiga Pada Kejohanan terbuka Celcom Axiata 2019 di Stadium Axiata, Bukit Jalil. - Foto Syarafiq Abd Samad

Beregu campuran mara, V Shem-Wee Kiong tersingkir

KUALA LUMPUR: Pemain beregu campuran negara, Lai Pei Jing berterima kasih kepada pasangannya, Tan Kian Meng yang mempunyai tahap kesabaran tinggi ketika dia bergelut untuk menemui rentak permainan sebenarnya.

Kian Meng-Pei Jing nyaris ditunjukkan jalan keluar pada pusingan kedua Terbuka Malaysia, hari ini sebelum berjaya bangkit untuk mengatasi beregu India, Pranaav Jerry Chopra-N  Sikki Reddy 15-21, 21-17, 21-13 sekali gus mara ke suku akhir.

"Saya tidak bermain dengan baik di set pertama. Mujur pasangan saya (Kian Meng) banyak bersabar dan cuba membantu saya.

"Di set kedua, saya kembali menemui rentak permainan saya dan itu membuatkan tahap keyakinan saya semakin meningkat dan boleh bermain dengan baik," kata Pei Jing ketika ditemui selepas tamat perlawanan.

Kian Meng-Pei Jing yang mara ke suku akhir buat kali pertama dalam kejohanan tahun ini akan bertemu pasangan Indonesia, Tontowi Ahmad-Winny Oktavina Kandow bagi merebut tempat ke separuh akhir, esok.

Sementara itu, beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying turut mara ke kelompok lapan terbaik selepas mengatasi pasangan Indonesia, Ricky Karandasuwardi-Pia Zebadiah Bernadet 21-13, 21-14.

Pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 itu begitupun berdepan tugas mencabar bagi memburu tempat ke separuh akhir apabila dijadual menentang pilihan kedua, Wang Yilyu-Huang Dongping dari China.

Cabaran dua beregu lelaki profesional, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Low  Juan Shen-Chooi Kah Ming berakhir selepas tewas di tangan lawan masing-masing.

V Shem-Wee Kiong tewas di tangan pilihan ketiga dari Jepun, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda 21-10, 13-21, 9-21 manakala Juan Shen-Kah Ming tunduk kepada beregu Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan 18-21, 12-21.

Berita Harian X