Khamis, 4 April 2019 | 1:22pm
DATUK Lee Chong Wei. - Foto Eizairi Shamsudin

Chong Wei tetap nombor satu Malaysia

KUALA LUMPUR: Selagi Datuk Lee Chong Wei belum bersara, dia masih pemain perseorangan lelaki nombor satu terbaik negara.

Belum ada mana-mana pemain yang layak memegang status itu biarpun sudah hampir 10 bulan Chong Wei tidak beraksi dalam saingan kompetitif kerana masih dalam proses pemulihan susulan kanser hidung yang dihidapinya pada Julai tahun lalu.

Walaupun Lee Zii Jia ketika ini dianggap pemain nombor satu negara namun itu hanyalah disebabkan kedudukan rankingnya yang lebih baik berbanding Chong Wei tetapi jika berdasarkan prestasi semasa jelas dia masih jauh ketinggalan.

Ia terbukti apabila pemain berusia 21 tahun itu ditunjukkan jalan keluar di pusingan pertama Terbuka Malaysia selepas tewas di tangan pemain Thailand, Suppanyu Avihingsanon 17-21, 21-19, 15-21, semalam.

Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek mengakui jurang masih terlalu jauh jika mahu membandingkan Zii Jia dengan Chong Wei.

"Ya, memang masih jauh," kata Misbun ketika ditanya mengenai jurang antara Zii Jia dengan Chong Wei.

"Dia belum melalui pengalaman bermain yang banyak seperti mana yang dilalui Chong Wei. Chong Wei sudah meraih banyak pengalaman sehinggakan dia muda mudah untuk menyesuaikan diri dengan apa jua situasi.

"Nama Zii Jia mungkin orang sudah kenal tetapi dari aspek permainan, dia belum stabil lagi."

Zii Jia yang menjuarai Terbuka Taiwan 2018 ketika ini menghuni ranking ke-23 dunia berbanding Chong Wei yang jatuh di kedudukan ke-44 dunia.

Misbun bagaimanapun, berkata Zii Jia sudah mula menapak untuk menempatkan diri dalam kelompok teratas dunia.

"Inilah risiko (tewas di pusingan pertama Terbuka Malaysia) yang perlu dihadapi apabila pemain itu baru menapak di peringkat antarabangsa. Dia perlu ambil iktibar daripada kekalahan ini dan dia harus sedar bagaimana untuk bermain di tahap yang tinggi," katanya.

Berita Harian X