Selasa, 2 April 2019 | 10:31pm
Beregu lelaki negara, Goh V Shem bersama Tan Wee Kiong ketika beraksi menentang beregu Thailand pada hari pertama Kejohanan Terbuka Celcom Axiata 2019 di Stadium Axiata, Bukit Jalil. - Foto Syarafiq Abd Samad

V Shem-Wee Kiong tak rela kalah lagi

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki profesional negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong tidak rela kecundang lagi di tangan pasangan Jepun, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda.

Kedua-dua pasangan itu akan membuat perhitungan pada aksi pusingan kedua Terbuka Malaysia, Khamis ini.

Wee Kiong, berkata mereka akan mencari formula terbaik bagi menumbangkan pilihan ketiga kejohanan itu selepas tewas dalam tiga pertemuan terakhir.

“Ia akan menjadi perlawanan yang sukar untuk kami. Kami sudah banyak kali kalah kepada mereka, tetapi kami tidak mahu ia berulang lagi.

“Kami akan bincang dengan jurulatih untuk mencari cara bagi menewaskan mereka,” kata Wee Kiong.

Dalam 11 pertemuan antara kedua-dua beregu itu, V Shem-Wee Kiong hanya pernah menang tiga kali.

Terdahulu, V Shem-Wee Kiong yang juga pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 tidak berdepan masalah untuk melepasi pusingan pertama selepas menewaskan beregu Thailand, Tinn Isritayanet-Kittisak Namdash 21-14, 21-18 dalam aksi pusingan pertama di Axiata Arena Bukit Jalil, hari ini.

Kamura-Sonoda pula mengesahkan tempat ke pusingan kedua selepas menundukkan Huang Kaixiang-Wang Zekang 21-17, 21-18.

Pasangan negara matahari terbit itu turut akan mendapat sentuhan bekas jurulatih beregu negara, Tan Kim Her yang kini bersama pasukan Jepun.

Sementara itu, beregu campuran profesional, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying turut ke pusingan kedua selepas menewaskan Kohei Gondo-Ayane Kurihara dari Jepun 21-13, 21-19.

Mereka akan bertemu beregu Indonesia, Ricky Karandasuwardi-Pia Zabedah Bernadet bagi merebut tempat ke suku akhir.

Nasib bagaimanapun, tidak menyebelahi beregu lelaki profesional, Arif Latif-Nur Azryn Ayub dan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei apabila tewas di tangan lawan masing-masing.

Berita Harian X