Selasa, 12 March 2019 | 11:24pm
JAGUH perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei akan bertemu pemain India, K Srikanth pada pusingan pertama Terbuka Malaysia.
JAGUH perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei akan bertemu pemain India, K Srikanth pada pusingan pertama Terbuka Malaysia.

Terbuka Malaysia: Chong Wei jumpa Srikanth

KUALA LUMPUR: Jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei akan bertemu pemain India, K Srikanth pada aksi pusingan pertama Terbuka Malaysia yang akan berlangsung di Arena Axiata Bukit Jalil bermula 2 hingga 7 April depan.

Ia adalah hasil undian yang dijalankan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), hari ini.

Bagaimanapun, status sama ada pemain berusia 37 tahun itu akan beraksi dalam kejohanan bertaraf Jelajah Dunia BWF Super 750 itu masih belum dapat disahkan dengan dia perlu mendapat lampu hijau daripada doktor pakar yang merawatnya selepas menghidap kanser hidung.

Chong Wei yang kini menghuni ranking ke-41 dunia dilapor akan menjalani pemeriksaan kesihatan di Taiwan bulan ini bagi mengetahui sama ada dia boleh kembali beraksi atau sebaliknya.

Cabaran negara dalam acara perseorangan lelaki turut digalas bintang muda negara, Zii Jia yang akan memulakan kempen menentang pemain Thailand, Suppanyu Avihingsanon manakala pemain profesional, Liew Daren diundi bertemu Kantaphon Wangcharoen juga dari Thailand.

Sementara itu, dalam perseorangan wanita, Goh Jin Wei dijadual turun menentang pemain Thailand, Nitchaon Jindapol dan Soniia Cheah bertemu pilihan keempat dari Jepun, Akane Yamaguchi.

Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang masih segar dengan kejayaan muncul naib juara Seluruh England, Ahad lalu diundi bertemu pasangan England, Marcus Ellis-Chris Langridge.

Gandingan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin akan memulakan kempen menentang pasangan Thailand, Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh manakala pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 yang kini bergerak secara profesional, Goh V Shem-Tan Wee Kiong bertemu Tinn Isriyanet-Kittisak Namdash juga dari Thailand.

Satu lagi pasangan profesional negara, Mohd Arif Latif-Nur Azriyn Ayub akan beraksi menentang juara dunia 2017 dari China, Liu Cheng-Zhang Nan.

Malaysia turut mempunyai dua wakil dalam acara beregu wanita menerusi gandingan Vivian Hoo-Yap Cheng Wen dan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean.

Saingan beregu campuran menyaksikan Malaysia meletakkan harapan ke atas empat gandingan diketuai Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Chen Tang Jie-Peck Yen Wei.

Berita Harian X