Rabu, 20 Februari 2019 | 8:28pm
PEMAIN perseorangan lelaki negara , Leong Jun Hao. - Foto Mohd Yusni Ariffin
PEMAIN perseorangan lelaki negara , Leong Jun Hao. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Jun Hao mahu calar reputasi Zii Jia

KUALA LUMPUR: Leong Jun Hao mahu mencalarkan reputasi Lee Zii Jia sebagai pemain perseorangan lelaki nombor satu negara pada saingan Kejohanan Badminton Kebangsaan yang sedang berlangsung di Ipoh, Perak.

Kedua-dua pemain itu kini hanya dipisahkan dua perlawanan lagi sebelum dijangka bertemu pada aksi separuh akhir selepas masing-masing melepasi pusingan pertama, hari ini.

Jun Hao yang kembali beraksi dalam kejohanan buat kali pertama selepas berehat selama empat bulan susulan kecederaan pinggul dialaminya, mara ke pusingan kedua selepas menyingkirkan wakil Melaka, Tan Ming Kang 21-19, 21-15.

Zii Jia pula yang tampil sebagai pilihan pertama kejohanan tidak berdepan masalah untuk menundukkan Kok Jing Hong 21-19, 21-17.

“Ini adalah kejohanan pertama saya selepas kali terakhir beraksi pada Terbuka Taiwan (Oktober tahun lalu). Setakat ini semuanya ok dan saya cuba untuk mendapatkan rentak permainan saya semula.

“Jika semuanya berjalan lancar saya akan bertemu Zii Jia di separuh akhir. Saya anggap ini persaingan yang sihat untuk kami.

“Saya sudah bersedia dan akan buat yang terbaik untuk mencatat kemenangan ke atas Zii Jia. Namun, saya perlu fokus dua lagi perlawanan sebelum itu.

“Saya mahu melangkah jauh dalam kejohanan ini yang mana pencapaian terbaik saya sebelum ini adalah mara sehingga suku akhir pada 2017,” kata Jun Hao ketika dihubungi BH Sukan.

Pemain Kuala Lumpur itu akan menentang wakil Selangor, Shamsul Muzli Muhammad Izzuddin pada aksi pusingan kedua esok manakala Zii Jia berdepan Datu Mohd Shah Eizlan Sardik dari Sabah.

Berita Harian X