Sabtu, 26 Januari 2019 | 12:39am

Kepong BC lakar kejutan ke final SSPL

GENTING HIGHLANDS: Kelab Badminton (BC) Kepong mengulangi pencapaian musim lalu apabila mara ke pentas final SS Purple League (SSPL) 2018/2019 dengan mengejutkan pasukan pilihan, Ampang Jaya BC dalam aksi separuh akhir di Arena Of Stars, Resorts World Genting, hari ini.

Kepong BC yang dibimbing Mohd Zakry Abdul Latif melakar kejutan besar dengan menewaskan Ampang Jaya BC 12-8. 

Malang berganda buat Ampang Jaya BC apabila ia adalah kekalahan pertama mereka musim ini sekali gus meranapkan impian untuk ke pentas akhir biarpun cemerlang dalam aksi pusingan pertama SSPL sebelum ini.

Ketua jurulatih Kepong BC, Mohd Zakry berkata:  “Alhamdulilah saya sangat gembira kerana pemain mempamerkan semangat juang tinggi untuk menang. 

“Kami memanfaatkan sepenuhnya ketiadaan pemain utama Ampang Jaya BC.

“Sebenarnya sasaran kami memang untuk ke final, apabila dah sampai ke tahap ini harapan sememangnya adalah untuk menjadi juara SSPL,” katanya.

Sementara itu, pengurus, Ampang Jaya BC, Ho Khek Mong menyifatkan tuah tidak memihak pasukannya dalam aksi separuh akhir hari ini.

“Salah satu punca kekalahan adalah ketiadaan pemain utama yang beraksi pada saingan Masters Indonesia. Bagaimanapun, saya sudah mencari pemain terbaik untuk menggantikan tempat mereka iaitu dari Perancis dan sebagainya. Cuma kami tiada tuah hari ini,” kata Khek Mong.

“Perjuangan kami belum berakhir kerana masih ada perebutan tempat ketiga dan keempat esok dan kami perlu bersedia untuk musim akan datang,” katanya.

Dalam aksi perseorangan lelaki, pemain Kepong BC, Soong Joo Ven mengejutkan pemain baru Ampang Jaya BC yang juga nombor satu Perancis, Brice Leverdez 3-2 (11-5, 11-7, 6-11, 9-11, 11-8).

Selepas itu, giliran Qin Jin Jing pula melebarkan kedudukan buat Kepong BC menerusi acara perseorangan wanita apabila mengatasi Hanna Ramadini 3-2 (11-8, 11-8, 4-11, 5-11, 4-2) dalam masa 30 minit.

Kepong BC turut menguasai saingan beregu lelaki menerusi gandingan Mads Conrad Petersen-Rian Agung Saputroyang yang menewaskan Chooi Kah Ming-Low Juan Shen 3-2 (11-7, 9-11, 11-7, 9-11, 5-2).

Kemenangan itu meletakkan Kepong BC mendahului perlawanan dengan keputusan semasa 9-6.

Kemenangan Kepong BC disempurnakan pasangan beregu campuran, Cheah Yee See-Rick Karandasuwardi yang menumbangkan pasangan  Chau Hoi Wah- Lukhi Apri Nugroho 3-2 (11-9, 8-11, 11-6, 9-11, 11-9). 

Berita Harian X