Khamis, 24 Januari 2019 | 9:44pm
BEREGU lelaki Kepong BC, Arif-Azriyn turut menyumbang mata bagi membantu pasukan itu mara ke separuh akhir SS Purple League 2018/2019, hari ini.
BEREGU lelaki Kepong BC, Arif-Azriyn turut menyumbang mata bagi membantu pasukan itu mara ke separuh akhir SS Purple League 2018/2019, hari ini.

Kepong BC ke separuh akhir SS Purple League 

GENTING HIGHLANDS: Kelab Badminton (BC) Kepong menepati ramalan apabila mara ke separuh akhir SS Purple League (SSPL) 2018/2019.

Kejayaan itu hadir selepas Kepong BC menewaskan Serdang BC 10-4 dalam aksi suku akhir yang berlangsung di Arena Of Stars, Resorts World Genting Highlands, hari ini.

Bagaimanapun, Kepong BC terlebih dulu dikejutkan apabila perseorangan lelaki, Soong Joo Ven tewas di tangan Leong Jun Hao 2-3 (11-5, 5-11, 10-11, 11-6, 10-11).

Kepong BC kembali bangkit menerusi acara perseorangan wanita apabila pemainnya, Qin Jin Jing dari China mudah menumbangkan Wei Yawen 3-0 (11-5, 11-9, 11-7) untuk kembali mendahului keseluruhan 5-3.

Beregu lelaki Kepong BC, Mohd Arif Abdul Latif- Nur Mohd Azriyn Ayub mengukuhkan lagi kedudukan pasukan itu selepas mereka mudah mengatasi pasangan Lwi Sheng Hao-Mohd Syazmil Idham Zainal Abidin 3-0 (11-9, 11-8, 11-5). 

Kemenangan itu membolehkan Kepong BC di depan 8-3 secara keseluruhan set. 

Kemaraan Kepong BC disahkan menerusi beregu campuran mereka, Petersen Mads Conrad-Wu Qian Qianyang yang menumbangkan pasangan Liu Lin-Yap Qar Siong 2-1 (11-10, 8-11, 11-7). 

Ketua Jurulatih Kepong BC, Mohd Zakry Abdul Latif berkata: “Saya dapat rasakan pada mulanya kita agak tertekan, mungkin Joo Ven juga terlalu mahukan kemenangan sehingga memerangkap dirinya sendiri. 

“Namun, kawan-kawan lain dapat menang 3-0 dan itulah memberikan kelebihan semula kepada kami.

“Kami akan bertemu Ampang Jaya BC di separuh akhir, lawan yang sukar dan mereka juga belum tewas musim ini. Apapun, kami akan melakukan terbaik untuk cuba melakar kejutan,” kata Zakry.

Berita Harian X