Sabtu, 5 Januari 2019 | 10:13pm
Goh Jin Wei yang mencatat kemenangan mudah 11-10, 11-6, 11-8 ke atas wakil Serdang BC, Wei Yawen. - Ihsan FB Purple League
Goh Jin Wei yang mencatat kemenangan mudah 11-10, 11-6, 11-8 ke atas wakil Serdang BC, Wei Yawen. - Ihsan FB Purple League

Ampang Jaya BC selangkah ke pusingan akhir

CYBERJAYA: Kelab Badminton (BC) Ampang Jaya selangkah ke pusingan akhir Purple League (SSPL) 2018/19 selepas menewaskan Serdang BC, 15-3 dalam perlawanan terakhir peringkat pertama di sini, sebentar tadi.

Terdahulu pemain perseorangan lelaki (MS2) Ampang Jaya BC, Tan Jia Wei menghadiahkan mata pertama buat Ampang Jaya BC selepas menewaskan pemain Serdang BC, Muhd Shaqeem 11-7, 11-9, 11-6.

Mata kedua Ampang Jaya BC pula diraih pemain badminton negara, Goh Jin Wei yang mencatat kemenangan mudah 11-10, 11-6, 11-8 ke atas wakil Serdang BC, Wei Yawen dalam acara perseorangan wanita.

Gandingan Chan Peng Soon-Shevon Lai Jemie pula membolehkan Ampang Jaya BC mengutip kemenangan ketiga selepas mereka berhempas pulas sebelum menewaskan wakil Serdang BC dari China, Guo Yuchen-Liu Lin dengan keputusan 11-8, 8-11, 11-4, 5-11, 5-4.

Sementara itu Lee Zii Jia melengkapkan rekod bersih Ampang Jaya BC di peringkat pertama selepas mencatat satu lagi kemenangan dalam acara perseorangan lelaki (MS1) menewaskan wakil Serdang BC, Wang Yihui 11-9, 11-5, 6-11, 11-10.

Pasukan Ampang Jaya BC kini gah di puncak liga namun perlu menunggu aksi pasukan yang masih mampu mencabar dua slot teratas SSPL iaitu Puchong United BC dan Petaling BC yang berentap esok.

Berita Harian X