Sabtu, 8 Disember 2018 | 9:01pm
BAGI beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, musim 2019 tampak cukup penting ketika mereka bakal bertarung bagi mendapat tempat ke Olimpik Tokyo 2020. - Arkib NSTP/Eizairi Shamsudin

Masters Malaysia ujian terbaik pemain muda

 

KUALA LUMPUR: Kejohanan Masters Malaysia bulan depan mungkin akan menandakan sudah tiba masanya buat beberapa pemain badminton muda negara membuktikan keupayaan berdepan pemain terkemuka dunia.

Mereka kini perlu menyesuaikan diri berdepan sebahagian daripada pemain terbaik dunia yang sudah sah menyertai acara Super 500 Jelajah Dunia BWF, seperti diumumkan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria, semalam.

Bagi beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, musim 2019 tampak cukup penting ketika mereka bakal bertarung bagi mendapat tempat ke Olimpik Tokyo 2020.

Ketika dihubungi hari ini, Aaron, 21, berkata: "Banyak perkara sudah berubah buat kami tahun ini, dan kami tidak sabar untuk bermain dalam Masters Malaysia.

"Awal tahun ini kami tidak beraksi baik kerana kami baru saja digandingkan dan hanya cuba melakukan yang terbaik. Tahun depan berbeza, kami ada sasaran dan ia adalah mara ke Olimpik 2020.

“Saya faham ada nama besar seperti pasangan Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo yang sudah mengesahkan penyertaan, tetapi kami tidak hanya mahu menjadi pelengkap.

"Kami mesti cuba mara ke separuh akhir sekurang-kurangnya pada setiap kejohanan, jadi kami ada permulaan yang bagus apabila bermulanya tempoh kelayakan Olimpik pada Mei."

Selain Aaron-Wooi Yik, seorang lagi pemain muda ialah perseorangan lelaki Lee Zii Jia, 20, yang mencipta kejutan apabila mara ke suku akhir Kejohanan Dunia di Nanjing, China tahun ini.

Walaupun bertarung dengan kecederaan belakang, Zii Jia menamatkan musim dengan rentak baik apabila menang gelaran Terbuka Taiwan pada Oktober, dan mara ke pentas akhir kedua berturut-turut di Masters Korea, minggu lalu.

"Saya tahu ada nama besar seperti Kento Momota (Nombor 1 dunia) dan Viktor Axelsen, tetapi tiada tekanan buat saya.

"Saya tahu apa yang saya perlu lakukan dan saya mahu menampilkan yang terbaik. Masters Malaysia ialah pentas terbaik buat kami mencapai standard," kata Zii Jia.

Berita Harian X