Ahad, 28 Oktober 2018 | 12:50pm
LEONG Jun Hao
LEONG Jun Hao

Ujian saya jadi jaguh dunia - Jun Hao

KUALA LUMPUR: Perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao menyifatkan kecederaan berulang yang dialami sebagai ujian buatnya dalam usaha bergelar jaguh dunia.

Jun Hao, 19, terpaksa melupakan baki saingan tahun ini apabila dia sekali lagi mengalami kecederaan pinggul yang memaksanya berehat sekurang-kurangnya tiga bulan bagi menjalani proses pemulihan.

Kecederaan itu dialaminya ketika beraksi pada Terbuka Taiwan yang mana dia tersingkir pada pusingan pertama, awal bulan ini.

“Saya perlu fokus terhadap proses pemulihan kali ini bagi memastikan ia tidak berulang. Kecewa memang kecewa kerana saya akan terlepas beberapa kejohanan hingga hujung tahun ini dan pastinya akan menjejaskan kedudukan ranking dunia saya.

“Namun, saya melihat perkara ini dari sudut positif. Mungkin ini ujian yang saya perlu lalui bagi mencapai cita-cita bergelar jaguh dunia,” kata Jun Hao yang dilabel sebagai aset baharu kem badminton negara dalam acara perseorangan lelaki.

Dia salah seorang pemain yang disebut-sebut mampu mengambil alih tempat Datuk Lee Chong Wei selain Lee Zii Jia, Cheam June Wei dan Tan Jia Wei.

Jun Hao berharap dia mampu pulih sebelum saingan Masters Malaysia bermula 15 Januari depan.

“Seboleh-bolehnya saya mahu segera kembali ke gelanggang. Saya mahu beraksi pada Masters Malaysia dan untuk itu saya akan bekerja keras bagi memastikan sempat pulih sepenuhnya sebelum kejohanan bermula,” kata pemain ranking ke-76 dunia itu.

Pencapaian terbaik Jun Hao tahun ini adalah muncul juara Cabaran Antarabangsa Finland, April lalu.

Berita Harian X