Ahad, 30 September 2018 | 9:52pm
LEE Zii Jia - Foto FATHIL ASRI

Zii Jia sasar kebangkitan di Taiwan

 

KUALA LUMPUR: Selepas terpaksa menggantung raket hampir sebulan susulan kecederaan belakang, pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia kini bersedia untuk kembali beraksi bermula di Terbuka Taiwan, minggu depan.

Kejohanan di Taiwan menjadi penampilan pertama pemain berusia 20 tahun itu sejak menyertai Sukan Asia di Indonesia, dua bulan lalu dengan sasaran utamanya adalah menghuni ranking 30 terbaik dunia sebelum 2018 melabuhkan tirai.

“Ia mengecewakan kerana saya tidak dapat melakukan apa-apa. Saya cukup kecewa dengan kecederaan ini,” kata Zii Jia.

“Kemajuan yang saya lakukan adalah perlahan, tetapi kecederaan ini mengganggu segala-galanya. Kini saya kembali, saya mahu mengalahkan kecederaan ini, saya mahu keluar daripada kemerosotan ini dan meraih semula prestasi saya.

“Mungkin bukan mudah untuk melakukannya pada kejohanan ini (Taiwan) tetapi saya akan pastikan saya akan berikan yang terbaik.”

Zii Jia yang pernah bergelar pemain nombor dua negara dan menghuni ranking 51 dunia ketika ini dijangka berdepan laluan sukar di Taiwan apabila bertemu pemain pilihan tuan rumah, Hsu Jen Hao di pusingan pembukaan.

“Undian saya amat sukar, tetapi saya tidak boleh mengadu. Saya berlatih untuk perkara ini, jadi saya perlu bermain. Jika saya mahu melangkah ke depan susulan kecederaan, saya perlu berjuang.”

Begitupun berita baik buat pemain kelahiran Kedah itu apabila dia sebelum ini sudah pun menewaskan Jen Hao pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Alor Setar tahun ini dengan keputusan straight set.

Selain Zii Jia, pemain negara yang turut beraksi adalah Iskandar Zulkarnain Zainuddin, bekas juara remaja Asia, Leong Jun Hao dan dua pemain profesional, Chong Wei Feng dan Liew Daren.

Berita Harian X