Ahad, 5 Ogos 2018 | 3:07pm
PEMAIN beregu lelaki Malaysia, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik. - Foto Eizairi Shamsudin

Aaron-Wooi Yik beri amaran kepada V Shem-Wee Kiong

KUALA LUMPUR: Peningkatan prestasi ditunjukkan Aaron Chia-Soh Wooi Yik disifatkan sebagai amaran buat beregu utama lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dengan mereka tidak lagi boleh terus berada dalam zon selesa.

Berdasarkan prestasi luar biasa dipamerkan pasangan muda negara itu sepanjang Kejohanan Badminton Dunia di Nanjing, China, Malaysia kini tidak lagi perlu  meletakkan harapan di atas bahu V Shem-Wee Kiong yang juga pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016.

Bekas pakar beregu kebangsaan, Datuk Seri Jalani Sidek, berkata V Shem-Wee Kiong sudah mempunyai pencabar bagi merebut status sebagai pasangan nombor satu negara dan mereka seharusnya menjadikan perkara itu sebagai motivasi untuk kembali bangkit membuktikan kemampuan sebenar mereka.

"Apa yang ditunjukkan Aaron-Wooi Yik adalah sesuatu yang cukup positif , kita tidak perlu lagi mengharap kepada V Shem-Wee Kiong saja. Tidak guna kita terus berharap kepada mereka sedangkan akhirnya nanti ia sekadar harapan palsu.

"V Shem-Wee Kiong seharusnya buka mata, mereka ada kualiti tetapi bagaimana mahu menterjemahkannya dalam perlawanan. Saya tahu masing-masing ada pendirian tetapi mereka perlu buang ego dan bersatu menjadi satu kombinasi yang mantap.

"Aaron-Wooi Yik berjaya membuktikan jika mereka bersatu, mereka dapat hasil yang baik. Ini sepatutnya menjadi contoh kepada V Shem-Wee Kiong," kata Jalani ketika dihubungi.

Kelibat Aaron-Wooi Yik yang menghuni ranking ke-35 dunia mencuri tumpuan pada penampilan pertama di Kejohanan Dunia apabila berjaya melakukan kejutan demi kejutan sebelum tewas di tangan pilihan keempat dari China, Li Junhui-Liu Yuchen di suku akhir, kelmarin.

V Shem-Wee Kiong pula yang masih bergelut dengan prestasi tidak menentu terkandas di pusingan ketiga selepas tewas kepada Junhui-Yuchen.

Jalani turut memberi sokongan penuh kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) jika badan induk itu menyenaraikan Aaron-Wooi Yik bersama skuad negara bagi menghadapi Sukan Asia Indonesia 2018 yang akan bermula 19 hingga 28 Ogos ini.

"Aaron-Wooi Yik perlu terus diberi peluang bermain dalam kejohanan besar seperti Sukan Asia. Mereka berada pada tahap terbaik ketika ini dan perlu terus diberi pendedahan untuk mendapat pengalaman.

"Saya kagum dengan sikap berani mereka apabila masuk ke gelanggang  dan ini jarang kita dapat lihat dalam diri pemain beregu muda. Saya suka kombinasi dan corak permainan mereka, masuk saja gelanggang...mereka terus menyerang," kata Jalani.

Berita Harian X