X
Isnin, 30 Julai 2018 | 9:10pm
PASANGAN beregu campuran Malaysia, Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing menumpaskan wakil Taiwan, Liao Min Chun-Chen Hsiao Huan hari ini. - Foto fail
PASANGAN beregu campuran Malaysia, Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing menumpaskan wakil Taiwan, Liao Min Chun-Chen Hsiao Huan hari ini. - Foto fail

Kian Meng-Pei Jing belum panas

KUALA LUMPUR: Lebih fokus dan percaya antara satu sama lain berjaya membantu gandingan beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing untuk bermula dengan langkah kanan di Kejohanan Dunia di Nanjing selepas mereka melepasi pusingan pertama apabila menumpaskan wakil Taiwan, Liao Min Chun-Chen Hsiao Huan hari ini.

Kian Meng-Pei Jing yang bergelut dengan prestasi mereka sejak kebelakangan ini mengambil masa 34 minit untuk mencatat kemenangan straight set 21-16, 21-15 untuk mara ke pusingan kedua di Pusat Sukan Olimpik Nanjing.

  Menanti mereka di pusingan kedua esok ialah pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai yang mendapat bye di pusingan pertama dan diletakkan sebagai pilihan ke-10.

  Berdasarkan rekod kedua-dua pasangan terikat 1-1, apabila Kian Meng-Pei Jing pernah menumpaskan Dechapol-Sapsiree di separuh akhir Terbuka Thailand pada 2016, sebelum mereka tumpas di peringkat yang sama di Terbuka Singapura 2017.

  Menurut Pei Jing, tentangan yang diberikan pasangan itu hari ini tidak terlalu mencabar dan dalam masa sama mereka juga sudah melakukan persediaan rapi.

"Pada perlawanan tadi, mereka tidak terlalu bagus. Kita pula sudah mengubah sikit dari segi minda yang mahu lebih fokus ke arah strategi serta perancangan permainan," katanya ketika dihubungi.

Pei Jing yang berasal dari Kuantan dan berusia 25 tahun, mengakui mereka juga lebih percaya antara satu sama lain.

"Walaupun ini bukan antara permainan terbaik kami dan berasa masih jauh untuk ke tahap itu tetapi sekurang-kurangnya kami percaya jika fokus satu demi satu perlawanan kami mampu untuk terus mara. Esok barulah kami berdepan cabaran sebenar.

"Sekurang-kurangnya kemenangan ini meningkatkan keyakinan kami. Selepas berjaya menyesuaikan diri dengan keadaan angin dan lampu di gelanggang hari ini," kata Pei Jing yang sekarang ini menghuni ranking ke-21 dunia.

Dua lagi pasangan beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan Goh Soon Huat-Shevon Lai mendapat bye di pusingan pertama.

  Peng Soon-Liu Ying akan berdepan Saurabh Sharma-Anoushka Parikh dari India, manakala Soon Huat-Shevon bertemu Jacco Arends-Selena Piek (Belanda) di pusingan kedua esok.

  Sementara itu, dalam aksi perseorangan wanita, Soniia Cheah dan Goh Jin Wei tidak berdepan masalah untuk menempah slot ke pusingan kedua.

  Soniia berjaya mengalahkan Gayle Mahulette (Belanda) 21-13, 21-12 dan akan menentang Sayako Sato manakala Jin Wei pula menumpaskan wakil Taiwan, Pai Yu Po 21-8, 21-15 untuk menempah pertemuan dengan Aya Ohori dari Jepun esok.

Berita Harian X