Khamis, 7 Jun 2018 | 8:43pm
NORZA ZAKARIA
NORZA ZAKARIA

BAM tak hantar pemain kategori B

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini mengesahkan pemain yang disenaraikan di bawah kategori B tidak akan dibenarkan menyertai Sukan Asia Indonesia 2018, Ogos depan.   

Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan standard tinggi temasya berkenaan dan atlet yang bertanding mesti boleh mencabar kejuaraan.   

Pada masa yang sama, Norza yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengesahkan bahawa BAM sudah mengemukakan rayuan kepada badan induk itu untuk menyenaraikan tambahan enam lagi pemain dan dua jurulatih dalam kategori B.   

Katanya, jika tidak mereka hanya akan menghantar 14 pemain seperti yang diumumkan dalam senarai awal sebelum ini.   

"MOM menyenaraikan 10 atlet lelaki, empat wanita, empat jurulatih dan seorang pengurus di bawah kategori A. Kami sudah menghantar rayuan hari ini untuk menambah enam lagi pemain. Jika gagal, BAM tidak akan menghantar enam pemain di bawah kategori B ke Sukan Asia.   

"Kita harus faham Sukan Asia bukan medan untuk pembangunan, ia bukan tempat untuk melakukan eksperimen atau menghantar pemain sekadar pelengkap. Jika Sukan SEA tak mengapa tapi ini Sukan Asia.   

"Kita tahu bahawa MOM hanya mahu pemain dalam kelompok empat terbaik Asia. Ia bermakna pemain yang kami hantar mesti mampu mencabar kejuaraan.   

"Selepas berbincang, kami memutuskan untuk tidak menghantar pemain ini ke Sukan Asia. Kami mungkin menghantar mereka ke kejohanan lain untuk mereka meningkatkan ranking masing-masing. Sukan Asia tidak menawarkan mata ranking," kata Norza.   

Atlet yang berada dalam kategori A adalah Lee Chong Wei, Lee Zii Jia, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Leong Jun Hao, Goh V Shem, Tan Wee Kiong, Teo Ee Yi, Ong Yew Sin, Chan Peng Soon, Goh Soon Huat, Goh Liu Ying, Shevon Lai Jemie, Chow Mei Kuan dan Lee Meng Yean.   

Dalam pada itu, Norza menyatakan bahawa BAM kini sedang membentuk skuad muda baharu terutama susulan prestasi buruk skuad berpasukan di Piala Thomas dan Uber di Bangkok, bulan lalu.  

 

Selari dengan polisi pemain remaja BAM, kedudukan pemain berusia lebih 21 tahun yang tidak mempamerkan prestasi baik bakal dinilai dan berdepan digugurkan daripada skuad kebangsaan pada Ogos depan.   

Dalam kempen Piala Thomas, skuad kebangsaan lelaki gagal mencapai sasaran ke separuh akhir apabila tersingkir di suku akhir selepas kalah kepada Indonesia 1-3 manakala skuad wanita gagal melepasi pusingan awal.

Berita Harian X