Khamis, 25 Januari 2018 | 9:12pm
PEMAIN perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia berkata beraksi di laman sendiri membangkitkan semangat diri untuk memberikan aksi terbaik dalam usaha membantu skuad negara layak secara merit ke Piala Thomas. - Foto Eizairi Shamsudin

Malaysia ada kelebihan berbanding Taiwan

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia berkata Taiwan mungkin dianggap sebagai pasukan pilihan Kumpulan C, Kejohanan Berpasukan Asia, namun Malaysia mempunyai kelebihan apabila beraksi di laman sendiri.

Katanya, dia bukan saja akan beraksi di negara sendiri malah negeri kelahirannya, sekali gus bakal membangkitkan semangat diri untuk memberikan aksi terbaik dalam usaha membantu skuad negara layak secara merit ke Piala Thomas.

"Ia adalah undian yang sukar tapi kami berharap mampu memperagakan aksi terbaik di depan peminat sendiri. Bagi saya dalam Kumpulan C ini, Taiwan adalah lawan yang sukar," katanya ketika dihubungi hari ini.

Selain Taiwan, turut berada dalam kumpulan berkenaan ialah Thailand selaku tuan rumah Piala Thomas & Uber 2018 serta Myanmar.

Zii Jia juga mempunyai misi tersendiri jika dia diturunkan dalam pertemuan menentang Taiwan selaku perseorangan kedua iaitu membalas dendam di atas kekalahan kepada Hsu Jen Hao di pusingan kedua Terbuka New Zealand tahun lalu.

"Saya tumpas dalam pertemuan sulung kami tahun lalu dan berharap jika diturunkan saya mampu membalas dendam di atas kekalahan itu," kata pemain berusia 20 tahun itu.

Mengenai aksi menentang Thailand, Zii Jia meramalkan dia mungkin akan berdepan kesukaran kerana negara jiran itu mempunyai pemain yang kuat.

"Mereka sangat kuat dan memberikan prestasi terpuji sejak kebelakangan ini. Saya dijangka berdepan Suppanyu Avihingsanon ataupun mungkin Khosit Phetpradab," katanya.

Selain Zii Jia, tiga lagi pemain perseorangan lelaki yang menganggotai skuad ke Alor Setar ialah Datuk Lee Chong Wei, Iskandar Zulkarnaian Zainuddin dan Soong Joo Ven.

Pemenang pingat gangsa Kejohanan Remaja Dunia 2016 di Bilbao itu akan beraksi di Terbuka India hujung bulan ini dengan menentang wakil China, Qiao Bin di pusingan pertama.

Berita Harian X