Rabu, 17 Januari 2018 | 10:06pm
PEMAIN perseorangan negara Lee Ying Ying berjaya atasi pemain Russia, Evgeniya Kosetskaya 21-17, 23-21 sekali gus layak ke pusingan kedua, hari ini. - Foto BERNAMA

Ying Ying mahu wakili negara ke Piala Uber

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan wanita, Lee Ying Ying mahu merebut tempat di dalam skuad Piala Uber dan justeru, dia bertekad mempamer aksi meyakinkan di kejohanan Malaysia Masters yang sedang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Hari ini, pemain berusia 21 tahun itu mengatasi pemain Russia, Evgeniya Kosetskaya 21-17, 23-21 sekali gus layak ke pusingan kedua di mana dia akan bertemu pemain Jepun, Aya Ohori.

Ying Ying yang juga naib juara Kejohanan Remaja Dunia 2015 di Lima, Peru, terlepas peluang mewakili negara di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Alor Setar bulan depan.

"Saya tidak tersenarai ke kejohanan itu tetapi ia tidak mengapa. Senarai pemain ke Piala Uber belum dikeluarkan lagi dan saya mahu bersaing merebut tempat.

"Bagaimanapun, saya perlu membuktikan keupayaan diri dalam semua pertandingan sebelum itu.

"Esok saya akan menentang Aya Ohori dan ia bukan mudah. Malaysia Masters adalah pertandingan yang sukar, tahapnya lebih tinggi, kita tunggu dan lihat," kata Ying Ying yang layak ke suku akhir Thailand Masters (pertandingan tahap lima) minggu lalu.

Seorang lagi pemain negara yang turut layak ke pusingan kedua ialah juara Kejohanan Remaja Dunia 2015, Goh Jin Wei yang mengatasi pemain Indonesia, Hanna Ramadini 21-15, 21-19.

Jin Wei akan menentang pemain Taiwan, Pai Yu Po untuk memburu tempat ke suku akhir, Jumaat ini.

Bagaimanapun, perjalanan Soniia Cheah dan Lim Yin Fun berakhir selepas tewas di tangan pemain nombor satu dunia dari Taiwan, Tai Tzu Ying dan pemain nombor dua dunia dari Jepun, Akane Yamaguchi.

Soniia tewas 18-21, 21-12, 21-12 manakala Yin Fun tumbang 21-18, 17-21, 21-12.

Keputusan pusingan pertama (pemain Malaysia saja)

Perseorangan lelaki: Lee Zii Jia kln Emil Holst (Den) 21-12, 21-18, Liew Daren kln Son Wan Ho (Kor) 21-15, 21-13, Anders Antonsen (Den) kln Iskandar Zulkarnain Zainuddin 21-10, 11-21, 21-9, Brice Leverdez (Fra) kln Soong Joo Ven 21-8, 21-12, Angus Ng Ka Long (Hkg) kln Chong Wei Feng 21-15, 21-11; Beregu: Liu Cheng-Zhang Nan (Chn) kln Chooi Kah Ming-Low Juan Shen 21-14, 21-16, Berry Angriawan-Hardianto Hardianto (Ina) kln Aaron Chia-Soh Wooi Yik 21-12, 21-11; Perseorangan wanita: Lee Ying Ying kln Evgeniya Kosetskaya (Rus) 21-17, 23-21, Goh Jin Wei kln Hana Ramadini (Ina) 21-15, 21-19, Tai Tzu Ying (Tai) kln Soniia Cheah 18-21, 21-12, 21-12, Akane Yamaguchi (Jpn) kln Lim Yin Fun 21-18, 17-21, 21-12; Beregu: Soong Fie Cho-Tee Jing Yi kln Liu Xuanxuan-Zhou Chaomin (Chn) 21-16, 21-18, Lim Yin Loo-Yap Cheng Wen kln Supisara Paewsampran-Kwanchanok Sudjaippraparat (Tha) 21-17, 21-17, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean kln Goh Yea Ching-Teoh Mei Xing 21-15, 21-15, Chang Ye Na-Jung Kyung Eun (Kor) kln Lim Chiew Sien-Yap Zhen 21-17, 21-15; Beregu campuran: Dechapol Puavaranukroh-Puttita Supajirakul (Tha) kln Chen Tang Jie-Cheah Yee See 21-19, 19-21, 21-11.

Berita Harian X