Jumaat, 29 Disember 2017 | 10:00pm
PERSATUAN Lawn Tenis Malaysia (LTAM) sedia senarai Mohamad Assri Merzuki dalam skuad kebangsaan jika dia berminat. - Foto Hasriyasyah Sabudin
PERSATUAN Lawn Tenis Malaysia (LTAM) sedia senarai Mohamad Assri Merzuki dalam skuad kebangsaan jika dia berminat. - Foto Hasriyasyah Sabudin

LTAM sedia terima kepulangan semula Assri

KUALA LUMPUR: Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) bersedia untuk menyenaraikan semula Assri Merzuki dalam skuad kebangsaan jika dia memutuskan untuk kembali beraksi secara kompetitif.

Setiausaha LTAM Rahizam Rahim berkata, badan induk itu tiada masalah untuk menerima semula bekas pemain kebangsaan itu terutama bagi menghadapi kempen Piala Davis peringkat Kumpulan III Asia-Oceania, April depan.

Assri bersara daripada aksi kompetitif selepas membantu Malaysia mengesahkan pingat gangsa dalam acara berpasukan di Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur, Ogos lalu untuk mengejar cita-citanya menjadi jurulatih di Thailand.

"Piala Davis akan diadakan pada April depan (di Vietnam) dan kami akan memulakan persiapan bermula bulan depan," kata Rahizam ketika dihubungi hari ini.

"Kami mahu yang terbaik mewakili negara dalam kedua-dua kejohanan Piala Davis dan Piala Fed jadi kerana itu kami akan terus membuka pintu bagi Assri untuk kembali.

"Dia begitupun perlu bermain dalam kejohanan kelayakan terlebih dulu kerana kami perlu mengukur tahap prestasi semasanya selain kami juga perlu bersikap adil kepada semua pemain.

Syed Agil Syed Naguib dan Ahmed Deedat Abdul Razak dijangka akan disenaraikan dalam pasukan Malaysia yang dijadual bertemu Kemboja, Jordan, Kuwait, Qatar, Arab Saudi, Syria dan Vietnam pada kejohanan itu yang berlangsung secara liga sepusingan.

Rahizam menegaskan pemain kebangsaan yang disenaraikan bagi Piala Davis dan Piala Fed akan dihantar untuk beraksi dalam siri kejohanan ITF Futures di Indonesia, Kemboja dan Thailand sebagai persiapan.

Bagi Piala Fed, Malaysia akan bersaing dalam Kumpulan II Asia-Oceania di Bahrain pada Februari.

Berita Harian X