Jumaat, 1 Disember 2017 | 9:47pm
BEREGU Malaysia, Chow Mei Kuan (kiri) dan Lee Meng Yean, terus mempamer prestasi cemerlang apabila mudah menyingkirkan beregu tuan rumah yang diwakili Chae Yoo Jung-Kim Hye Rin 21-17, 21-8 dalam aksi suku akhir yang berlangsung dalam tempoh hanya 29 minit. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
BEREGU Malaysia, Chow Mei Kuan (kiri) dan Lee Meng Yean, terus mempamer prestasi cemerlang apabila mudah menyingkirkan beregu tuan rumah yang diwakili Chae Yoo Jung-Kim Hye Rin 21-17, 21-8 dalam aksi suku akhir yang berlangsung dalam tempoh hanya 29 minit. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Meng Yean-Mei Kuan semakin membara

KUALA LUMPUR: Beregu wanita negara, Lee Meng Yean-Chow Mei Kuan semakin membara dalam misi mereka memburu gelaran pertama kejohanan bertaraf Grand Prix Emas selepas mengesahkan tempat ke separuh akhir Korea Masters di Gwangju, hari ini.

Meng Yean-Mei Kuan terus mempamer prestasi cemerlang apabila mudah menyingkirkan beregu tuan rumah yang diwakili Chae Yoo Jung-Kim Hye Rin 21-17, 21-8 dalam aksi suku akhir yang berlangsung dalam tempoh hanya 29 minit.

Bagi Meng Yean, dia dan Mei Kuan enggan melepaskan peluang terbaik ini bagi meraih gelaran pertama mereka dalam saingan GP Emas sekali gus menjadi penutup gemilang untuk 2017.

"Hari ini kami bermain sangat baik dan semua taktikal kami gunakan menjadi. Sebab itu, kami boleh menang mudah terutama di set kedua, kombinasi kami memang sangat baik dalam perlawanan ini.

"Saya harap kami boleh kekalkan prestasi ini kerana kami memang mahukan gelaran juara di sini. Ini adalah kejohanan terakhir kami untuk tahun ini, jadi kami tidak mahu lepaskan peluang apatah lagi kami belum pernah memenangi gelaran dalam saingan GP Emas," kata Meng Yean ketika dihubungi.

Pencapaian terbaik Meng Yean-Mei Kuan dalam saingan GP Emas sebelum ini adalah mara ke separuh akhir Terbuka Macau, tahun lalu

"Gelaran di sini pasti akan menjadi motovasi untuk kami sebelum memulakan saingan musim baharu tahun depan yang menyaksikan ada beberapa kejohanan besar akan berlangsung. Jadi, kami akan buat yang terbaik untuk mencapainya," kata Meng Yean.

Meng Yean-Mei Kuan yang muncul juara Cabaran Antarabangsa Malaysia 2016 akan bertemu pemenang perlawanan antara beregu Korea, Kim So Yeong-Kong Hee Yong dengan Kiu Xuanxuan-Xia Yuting dari China bagi merebut tempat ke final, esok.

"Kami tidak pernah bertemu kedua-dua pasangan itu sebelum ini. Jadi, kami buat analisis video bagi mengetahui kelebihan dan kelemahan mereka. Saya harap kami boleh catat keputusan positif esok," katanya.

Hanya tinggal Meng Yean-Mei Kuan yang membawa cabaran Malaysia di Gwangju selepas wakil negara yang lain tersingkir awal.

Berita Harian X