Isnin, 9 Oktober 2017 | 6:13pm
KETUA jurulatih skuad remaja, Kwan Yoke Meng mahu pemain kekal fokus untuk menghadapi aksi kedua menentang New Zealand bagi saingan berpasukan campuran Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Indonesia, esok. - Foto Osman Adnan
KETUA jurulatih skuad remaja, Kwan Yoke Meng mahu pemain kekal fokus untuk menghadapi aksi kedua menentang New Zealand bagi saingan berpasukan campuran Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Indonesia, esok. - Foto Osman Adnan

Skuad Yoke Meng langkah kanan

Oleh Helmi Talkah

helmi.talkah@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad remaja Kwan Yoke Meng menggesa pemain negara kekal fokus untuk menghadapi aksi kedua menentang New Zealand bagi saingan berpasukan campuran Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Indonesia, esok.

Terdahulu, Malaysia membuka tirai kempen kali ini dengan langkah kanan apabila tidak berdepan masalah untuk membenam Armenia 5-0 dalam saingan Kumpulan C1, hari ini.

"Armenia bukanlah lawan yang kuat dan kami memang sudah jangkakan kemenangan ini. Walaupun berdepan Armenia namun kami tetap menurunkan barisan terkuat kerana kami mahu pemain menyesuaikan diri dengan gelanggang dan suasana kejohanan.

"Semuanya menunjukkan prestasi yang baik dan saya mahu mereka lebih fokus apabila berdepan New Zealand esok. Memang atas kertas kelebihan memihak kepada kami tapi saya tidak mahu mereka pandang rendah terhadap lawan mereka," kata Yoke Meng ketika dihubungi di Yogyakarta.

Pada aksi menentang Armenia, Malaysia meraih mata pertama menerusi beregu campuran Man Wei Chong-Tan Sueh Jeou yang menang ke atas Gor Grigoryan-Gayane Mamajanyan 21-4, 21-3 sebelum juara perseorangan lelaki remaja Asia, Leong Jun Hao menyumbang mata kedua hasil kemenangan ke atas Arman Vardanyan 21-2, 21-4.

Juara remaja dunia 2015, Goh Jin Wei turut menyumbang mata menerusi acara perseorangan wanita apabila dia mengetepikan cabaran Mane Stepanyan 21-5, 21-2 untuk mata ketiga Malaysia.

Mata keempat diraih menerusi beregu lelaki Chang Yee Jun-Ng Eng Cheong yang menewaskan Grigoryan-Vardanyan 21-2, 21-4 sebelum beregu wanita, Pearly Tan-Toh Ee Wei melengkapkan kemenangan Malaysia dengan mengetepikan cabaran Gayane-Mane 21-4, 21-3.

Keseluruhannya Malaysia hanya memerlukan 67 minit untuk memenangi semua lima perlawanan itu.

Malaysia perlu menang ke atas New Zealand esok bagi muncul juara Kumpulan C1 untuk layak ke pusingan 16 terbaik. Jika layak, Malaysia akan bertemu juara Kumpulan C2 bagi perebutan tempat ke suku akhir.

"Kami perlu fokus satu demi satu dulu. Nampak memang kami tiada masalah untuk layak ke suku akhir, namun apa pun boleh berlaku. Kami tidak boleh pandang rendah pasukan dalam Kumpulan C2 (Poland, Mesir dan Norway), kami kena sentiasa fokus," kata Yoke Meng.

Berita Harian X