Khamis, 24 Ogos 2017 | 3:00pm
PEMAIN beregu Malaysia, Janice Woon Khe Wei (kiri) dan Vivian Hoo, ketika aksi beregu pertama menentang pemain Thailand dalam acara akhir Badminton Sukan SEA KL2017 di Axiata Arena, Bukit Jalil. Malaysia tewas 1-3. - Foto Aizuddin Saad
PEMAIN beregu Malaysia, Janice Woon Khe Wei (kiri) dan Vivian Hoo, ketika aksi beregu pertama menentang pemain Thailand dalam acara akhir Badminton Sukan SEA KL2017 di Axiata Arena, Bukit Jalil. Malaysia tewas 1-3. - Foto Aizuddin Saad

KL2017: Malaysia gagal sekat Thailand raih emas

KUALA LUMPUR: Pasukan badminton wanita negara mempamerkan semangat juang tinggi di pentas akhir acara berpasukan, namun belum cukup untuk menyekat Thailand mempertahankan pingat emas di saingan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), sebentar tadi.

Malaysia tewas 1-3 untuk sekadar meraih pingat perak Malaysia manakala pingat gangsa milik Singapura dan Indonesia.

Dalam aksi tadi, Thailand - pasukan pilihan untuk muncul juara meraih kelebihan dengan mendahului 2-0 di Axiata Arena apabila pemain nombor 12 dunia, Busanan Ongbamrungphan mudah mengatasi pemain perseorangan nombor satu negara, Soniia Cheah, 21-12, 21-10.

Beregu wanita Thailand, Puttita Supajirakul-Sapsiree Taerattanachai, meraih mata kedua selepas mengenepikan cabaran Vivian Hoo-Woon Khe Wei, 9-21, 21-11, 21-18.

Bekas juara remaja dunia, Goh Jin Wei, kembali menghidupkan peluang Malaysia apabila mengejutkan pemain nombor 14 dunia, Nitchaon Jindapol dengan kemenangan, 22-20, 23-25, 22-20.

Bagaimanapun, Thailand terus memadamkan impian Malaysia apabila beregu kedua mereka, Kititharakul Jongkolphan-Prajongjai Rawinda berjaya menewaskan beregu negara, Mei Kuan-Lee Meng Yean dalam pertarungan tiga set, 21-12, 16-21, 21-18.

Berita Harian X