Ahad, 23 Julai 2017 | 4:57pm

Peng Soon-Yee See juara badminton Terbuka Russia

KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Cheah Yee See membuktikan gandingan mereka semakin serasi, apabila meraih gelaran juara Terbuka Russia, hari ini.

Kejayaan itu hadir selepas Peng Soon-Yee See menewaskan gandingan Jepun, Keiichiro Matsui-Akane Araki 11-8, 13-11, 11-3 dalam aksi final yang berlangsung selama 33 minit.

Ia adalah gelaran pertama pasangan negara itu sejak digandingkan bersama, Mei lalu.

Peng Soon terpaksa bergandingan bersama pemain lain selepas pasangan tetapnya, Goh Liu Ying masih dalam proses pemulihan susulan kecederaan bahu.

Sebelum ini, Peng Soon yang meraih pingat perak Olimpik Rio 2016 bersama Liu Ying turut bergandingan dengan Peck Yen Wei dan mereka berjaya mara ke separuh akhir Terbuka Indonesia, Jun lalu.

"Saya gembira kerana dapat meraih gelaran juara dengan pasangan berbeza. Ini meningkatkan lagi tahap keyakinan saya dan juga pemain muda seperti Yee See...harap kami boleh teruskan rentak kecemerlangan ini," kata Peng Soon.

Peng Soon, berkata dia dan Yee See selepas ini akan beraksi pada Terbuka New Zealand awal bulan depan sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Sementara itu nasib berbeza menimpa perseorangan wanita, Sonia Cheah dan beregu lelaki, Low Juan Shen-Chooi Kah Ming apabila masing-masing berpuas hati dengan gelaran naib juara.

Dalam aksi final, Sonia tewas kepada pemain tuan rumah, Evgeniya Kosetskaya manakala Juan Shen-Kah Ming tunduk di tangan Vladimir Ivanov-Ivan Sozonov.

Berita Harian X