Selasa, 2 Ogos 2022 | 8:29pm
Dekwan meraih pingat perak dalam acara 200m T36/37 pada Sukan Para ASEAN di Solo 2022. - Foto Facebook Majlis Sukan Negara
Dekwan meraih pingat perak dalam acara 200m T36/37 pada Sukan Para ASEAN di Solo 2022. - Foto Facebook Majlis Sukan Negara

Harapan Dekwan pertahan emas tidak kesampaian

KUALA LUMPUR: Impian Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi untuk mempertahankan pingat emas dalam acara 200 meter (m) T36/37 pada edisi ke-11 Sukan Para ASEAN di Solo 2022 tidak kesampaian.

Ridzuan atau dikenali sebagai 'Dekwan' terlepas genggaman emas di tangan Saptoyogo yang mencatat masa 23.090 saat (s) di Stadium Manahan, Indonesia dan atlet berusia 34 tahun itu ketinggalan 02.35s di belakang atlet tuan rumah berkenaan.

Pingat gangsa pula menjadi milik atlet Vietnam, Le Van dengan catatan masa 26.390s.

Pada edisi sebelum ini, Dekwan meraih dua emas dalam acara 200m masing-masing di Singapura 2015 dan ketika Malaysia menjadi tuan rumah bagi temasya dwitahunan itu pada 2017.

Semalam, Dekwan meraih emas dalam acara 100 meter (m) T36 dengan catatan 12.220 saat (s) meninggalkan satu-satunya pencabar dalam perlumbaan itu yang juga wakil tuan rumah, M Habib.

Sementara itu, bagi acara renang, Mohd Adib Iqbal Abdullah menguasai acara 50m kuak dada SB14 lelaki dengan mencatat 33.550s.

Pingat perak dimenangi atlet Thailand, Master Parami Chaysri, 37.570s.

Dalam acara 200m gaya bebas S5 lelaki, Muhd Nur Syaiful Zulkafli menamatkan saingan dengan meraih perak, manakala atlet Thailand, Phucit Aingchaiyaphum meraih emas, 2:57.890s.

Nur Syaiful meraih perak dengan catatan 3:00.620s di Pusat Renang Jatidiri, manakala rakan senegara, Lee Kher Zy meraih gangsa dengan catatan 3:02.180s.

Muhd Imaan Aiman Muhd Redzuan pula turut meraih perak dalam acara 100m kuak lentang S14 yang menyaksikan atlet Filipina, Ariel Joseph Alegarbes meraih emas dengan catatan 1:03.010s.

Imaan melakukan catatan 1:03.200s manakala Chuvong Jirachot dari Thailand meraih gangsa, 1:11.680s.

Berita Harian X