Isnin, 1 Ogos 2022 | 5:10pm
Ridzuan (kiri) dan Eddy meraikan kemenangan di Sukan Para ASEAN Solo 2022. - Foto ihsan MSN
Ridzuan (kiri) dan Eddy meraikan kemenangan di Sukan Para ASEAN Solo 2022. - Foto ihsan MSN

Sukan Para ASEAN Solo 2022: Dekwan, Eddy sumbang emas

KUALA LUMPUR: Kejayaan jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli di Sukan Para ASEAN Solo 2022 turut diikuti dua lagi rakan senegara di Stadium Manahan iaitu Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan Eddy Bernard.

Ridzuan atau dikenali sebagai 'Dekwan' menghadiahkan emas buat kontinjen negara dalam acara 100 meter (m) T36 dengan catatan 12.220 saat (s) meninggalkan satu-satunya pencabar dalam perlumbaan itu yang juga wakil tuan rumah, M Habib.

Pingat emas itu adalah yang keduanya dalam acara berkenaan selepas meraih kilauan sama di Singapura pada 2015 selain dua lagi kemenangan dalam acara 200m T36 pada tahun sama dan Kuala Lumpur 2017.

Turut menghadiahkan emas adalah Eddy yang menyertai acara lompat jauh F44/64 dengan melakukan lompatan sejauh 6.48 meter (m) sekali gus mengenepikan pencabar terdekat dari Indonesia, Ryan Arda.

Ryan meraih perak dengan lompatan terbaik 5.74m yang dilakukannya pada percubaan keenam manakala gangsa menjadi milik atlet Thailand, Denpoom yang melakukan 5.2m pada percubaan pertama.

Lebih menggembirakan, keputusan Eddy di Solo itu melepasi catatan dilakukannya di Sukan Para Asia Jakarta 2018.

Pada ketika itu, Eddy yang berasal dari Sabah melakukan lompatan sejauh 6.30m untuk muncul pemenang.

Atlet berusia 21 tahun itu turut berjaya mengatasi rekod di Sukan Para Asia dilakukannya empat tahun lalu itu di Kejohanan di Paris, April lalu dengan melakukan 6.36m.

Berita Harian X