Rabu, 8 Jun 2022 | 6:22pm
Sarah lakukan kejutan apabila raih emas di Sukan SEA Hanoi.
Sarah lakukan kejutan apabila raih emas di Sukan SEA Hanoi.

Sarah sasar lebur rekod 'sifu'

KUALA LUMPUR: Tiga catatan rekod berada dalam 'radar' atlet lompat bergalah wanita negara, Nor Sarah Adi untuk dipecahkannya bermula di Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 yang dijadual berlangsung dari 29 September hingga 8 Oktober ini.

Sarah yang memenangi pingat emas di Sukan SEA Hanoi 2021 dengan lompatan 4 meter (m) berkata, dia mahu memperbaharui rekod temasya SUKMA iaitu 3.80m yang dilakukan Puteri Nur Adillah Shik Azizir Rahman di Perak 2018 pada penampilan terakhirnya di temasya di Lembah Klang nanti.

Tidak terhenti di situ, atlet berusia 22 tahun dari Jengka 3, Pahang itu juga meletakkan sasaran mempertahankan emas dimilikinya di pentas Asia Tenggara pada edisi 2023 di Kemboja, kurang setahun dari sekarang.

Pada temasya dwitahunan itu nanti, Sarah mahu memecahkan rekod 4.25m dipegang Natalie Uy yang dilakukan atlet Filipina berkenaan ketika Manila menjadi tuan rumah pada 2019.

Seandainya berjaya, Sarah yang pada ketika ini sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam bidang komunikasi mahu memecahkan rekod kebangsaan 4.40m yang masih disandang 'sifunya', Roslinda Samsu sejak 2006.

"Untuk diri sendiri, tentunya saya ingin melakukan yang lebih baik dan lebih tinggi," kata Sarah yang sudah melayakkan diri ke Sukan Asia nanti.

"Saya harap pada Sukan SEA tahun depan, saya dapat memecahkan rekod 4.25m dan di Sukan Asia, boleh meraih pingat.

"Mana tahu, rezeki pada tahun depan, saya bolah memecahkan rekod Roslinda Samsu, 4.40m. Apapun, yang paling terdekat adalah di SUKMA. Saya meletakkan sasaran untuk melakar rekod baharu pada temasya itu nanti. Untuk itu, saya perlu kekal fokus."

Di Sukan SEA Hanoi 2021 baru-baru ini, Sarah meraih 'emas tak dijangka' apabila melakukan catatan 4m meskipun dirinya tidak diletakkan dalam prospek pingat selain turut dibelenggu kecederaan belakang.

Sarah berjaya membuktikan bahawa kekuatan mental yang tinggi mampu mengatasi kesakitan dialaminya sekali gus mengatasi pencabar dari Thailand, Chonthicha Kabut yang melakukan 3.80m untuk perak dan atlet Filipina, Alyana Joyce Nicholas 3.60m (gangsa).

Berita Harian X