Khamis, 19 Mei 2022 | 6:21pm
Atlet lompat tinggi lelaki negara, Nauraj Singh Randhawa (kiri) meraikan kejayaan memenangi perak bersama rakan senegara, Mohamad Eizlan Dahalan yang memenangi gangsa pada temasya Sukan SEA Vietnam 2021 di Stadium Nasional MyDinh, Hanoi. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim.
Atlet lompat tinggi lelaki negara, Nauraj Singh Randhawa (kiri) meraikan kejayaan memenangi perak bersama rakan senegara, Mohamad Eizlan Dahalan yang memenangi gangsa pada temasya Sukan SEA Vietnam 2021 di Stadium Nasional MyDinh, Hanoi. - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim.

Kita bukan lagi 'raja' lompat tinggi Asia Tenggara

HANOI: Episod duka terlepas genggaman pingat emas dalam acara lompat tinggi di Sukan SEA SEA Manila 2005 kembali berulang pada edisi ke-31 di sini.

Malaysia mempunyai rekod 'hampir sempurna' sejak edisi Kuala Lumpur 1997, meraih emas menerusi Baljit Singh dan gelaran itu kekal dipertahankan secara tradisi oleh Ho Yoon Wah, Nairu Lal Ramjit, Lou Cwee Peng, Sivabalan Kesavan dan Loo Kum Zee.

Namun penguasaan Malaysia terkandas pada edisi 2005 di Manila apabila wakil negara, Mohd Syahrul Amri Md Suhaimi tewas di tangan pemenang emas, Nguyen Duy Bang dari Vietnam.

Begitupun, Malaysia kembali berjaya merampas gelaran 'raja lompat tinggi' pada edisi seterusnya di Thailand menerusi Lee Hup Wei yang turut menguasai acara berkenaan secara berturut-turut sehingga Indonesia 2011.

Kelangsungan itu kemudian diteruskan Nauraj Singh bermula dari Myanmar 2013 sehingga 2017 sebelum Hup Wei meraih emas pada edisi 2019 di Filipina - yang juga penampilan terakhirnya di temasya dwi tahunan berkenaan selepas membuat keputusan bersara, tahun ini.

Nauraj kembali memegang tanggungjawab besar untuk mengekalkan gelaran pada edisi Vietnam 2021, namun Malaysia terpaksa akur dengan kemampuan atlet Thailand, Kobsit Sittichai yang meleburkan penguasaan negara dalam acara itu.

Tentunya ia satu tamparan besar buat Nauraj selepas mencatatkan lompatan 2.18 meter (m) untuk meraih perak manakala Sittichai melakukan 2.21m untuk meleburkan dominasi Malaysia dalam acara berrkenaan.

Persoalannya, adakah Malaysia mampu merampas semula emas acara berkenaan menerusi Nauraj pada edisi seterusnya di Kemboja 2023 dengan dia masih belum mempunyai kepastian untuk menyertainya tahun depan.

"Saya tak tahu lagi, belum memikirkannya," kata Nauraj ketika ditanya sekiranya dia mahu beraksi di Kemboja sekiranya meraih peluang berkenaan. "Buat masa ini, (memikirkan secara) peringkat demi peringkat."

INFO:

Pencapaian atlet lompat tinggi negara di Sukan SEA sejak 1997-

Kuala Lumpur 1997 - emas (Baljit Singh Sidhu)

Jakarta 1979 - emas (Ho Yoon Wah)

Manila 1981 - emas (Ho Yoon Wah)

Singapura 1983 - emas (Ramjit Nairulal)

Bangkok 1985 - emas (Nairu Lal Ramjit)

Jakarta 1987 - emas (Lou Cwee Peng)

Kuala Lumpur - 1989 - emas (Sivabalan Kesavan)

Manila 1991 - emas (Loo Cwee Peng)

Singapura 1993 - emas (Loo Cwee Peng)

Chiang Mai 1995 - emas (Loo Kum Zee)

Jakarta 1997 - emas (Loo Kum Zee)

Bandar Seri Begawan 1999 - emas (Loo Kum Zee)

Kuala Lumpur 2001 - emas (Loo Kum Zee)

Hanoi& Ho Chi Minh 2003 - emas (Loo Kum Zee)

Manila 2005 - perak (Mohd Syahrul Amri Md Suhaimi)

Nakhin Ratchasima 2007 - emas (Lee Hup Wei)

Vientiane 2009 - emas (Lee Hup Wei)

Palembang&Jakarta 2011 - emas (Lee Hup Wei)

Naypidaw 2013 - emas (Nauraj Singh)

Singapura 2015 - emas (Nauraj Singh)

Kuala Lumpur 2017 - emas (Nauraj Singh)

Filipina 2019 - emas (Lee Hup Wei)

Hanoi 2021 - perak (Nauraj Singh)

Berita Harian X