Isnin, 16 Mei 2022 | 6:48pm
Atlet lontar peluru negara, Muhammad Ziyad Zolkefli bersama pingat gangsa yang dimenanginya dalam acara lontar peluru pada Sukan SEA ke-31 di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi, semalam. - Foto BERNAMA
Atlet lontar peluru negara, Muhammad Ziyad Zolkefli bersama pingat gangsa yang dimenanginya dalam acara lontar peluru pada Sukan SEA ke-31 di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi, semalam. - Foto BERNAMA

Ziyad akui sudah melupakan episod hitam

HANOI: Jauh di sudut hatinya atlet paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli mahu mengubah warna pingat apabila bertanding di Sukan SEA kali ketiga di sini, namun dia tetap reda dengan gangsa yang diraihnya semalam.

Ziyad yang sebelum ini meraih perak di Manila 2019, hanya dapat mengulangi pencapaian Sukan SEA sulungnya pada 2017 apabila meraih gangsa di Stadium Nasional My Dinh.

"Kalau boleh saya mahu keputusan yang lebih baik dan warna pingat lain pula. Selepas dapat perak, saya mahukan emas tapi saya reda, apa yang berlaku saya sangat puas hati," katanya yang melalui insiden kemenangannya dibatalkan di Sukan Paralimpik Tokyo tahun lalu.

Atlet berusia 32 tahun itu berkata apa yang membuatkan dia berpuas hati dengan pencapaian semalam adalah mampu melakukan lontaran yang sempurna selepas berbulan-bulan menjalani latihan.

"Hanya ini keputusan terbaik yang dapat saya tunjukkan. Namun lontaran 17.20 meter (m) di Sukan SEA 2021 juga adalah cukup baik buat saya. Ia mampu menjadi persiapan terbaik sebelum ke Switzerland.

"Selepas ini lagi 10 hari saya akan berlepas ke Switzerland (menyertai Grand Prix Para Olahraga di Nottwil, Switzerland bermula 26 hingga 28 Mei). Jadi saya mula mendapatkan rentak sebelum ke kejohanan berkenaan dan juga Sukan Para Asia," katanya.

Ditanya adakah gangsa yang diraih sedikit-sebanyak mengubat episod duka tahun lalu, Ziyad mengakui dia sudah membuktikan sudah kembali bangkit.

"Saya memang sentiasa tiba awal. Sebagai seorang atlet kita harus mengikut masa dengan tepat seperti ditetapkan. Apa yang terjadi (sebelum ini) adalah kesilapan diri saya sendiri dan dijadikan pengajaran. Benda sudah berlaku," katanya.

Ziyad yang meraih emas di Sukan Paralimpik Rio, melakukan lontaran sejauh 17.20m semalam, manakala emas milik atlet Filipina, William Morrison III Edward (18.14m), diikuti Jakkapat Noisri dari Thailand (17.32m).

Berita Harian X