Rabu, 4 Mei 2022 | 12:03pm
Azeem kini menjadi sandaran dalam acara 100 meter di Sukan SEA Hanoi.
Azeem kini menjadi sandaran dalam acara 100 meter di Sukan SEA Hanoi.

'Usain Bolt Malaysia' ganti Russel

KUALA LUMPUR: Bintang muda, Muhammad Azeem Fahmi diberi kepercayaan bagi menggantikan tempat Russel Alexander Nasir Taib untuk menggalas cabaran negara dalam acara 100 dan 200 meter (m) pada Sukan SEA Hanoi di Vietnam yang akan bermula 12 hingga 23 Mei ini.

Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk SM Muthu, berkata Russel yang berpangkalan di Australia terpaksa diketepikan selepas mengalami kecederaan tisu koyak yang menyaksikan dia memerlukan masa enam hingga lapan minggu untuk kembali pulih.

"Russel sememangnya adalah sandaran kita untuk mempertahankan pingat emas yang dimenangi sebelum ini namun situasi yang dialaminya memaksa kami mencari pengganti. Kami memilih Azeem berdasarkan prestasi semasanya," kata Muthu.

Berdasarkan catatan masa, Azeem, 18, sememangnya berhak beraksi dalam acara 100m di Hanoi selepas merakamkan 10.37 saat (s) ketika Kejohanan Kuala Lumpur All-Comers, bulan lalu sekali gus mendahului kedudukan pelari pecut terpantas negara musim ini.

Selain Azeem yang diberi julukan sebagai 'Usain Bolt Malaysia', cabaran negara bagi acara 100 dan 200m di Hanoi kali ini turut akan digalas Muhammad Arsyad Md Saat.

Azeem yang sebelum ini hanya disenaraikan dalam acara 4x100m turut membuktikan kemampuannya dalam acara 200m apabila dia berjaya memenangi emas ketika beraksi di Terbuka Singapura dengan catatan 21.52s, bulan lalu.

Pada edisi 2019 di Filipina, Muhamad Haiqal Hanafi berjaya mempertahankan emas 100m yang dimenangi Khairul Hafiz Jantan dua tahun sebelum itu di Kuala Lumpur apabila merakam masa terpantas 10.35s.

Ditanya mengenai potensi Malaysia bagi mencatat emas hatrik dalam acara 100m di Hanoi, Muthu, berkata: "Peluang itu tetap ada tetapi dalam masa yang sama kita juga perlu sedar yang negara lain turut melakukan persiapan terbaik.

"Namun, ia bukanlah sesuatu yang mustahil kerana kita sudah buktikan sebelum ini yang mana kita dapat lihat Haiqal yang tidak diletakkan sebagai sandaran berjaya menjadi juara," katanya.

Berita Harian X