Jumaat, 22 April 2022 | 5:21pm
Gambar fail - Jaguh lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin.
Gambar fail - Jaguh lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin.

Irfan di landasan tepat pertahan emas Sukan SEA

KUALA LUMPUR: Jaguh lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin berada di landasan tepat untuk mempertahankan pingat emas dimenanginya dalam empat edisi terakhir Sukan SEA apabila turun bertarung pada temasya di Hanoi, Vietnam, bulan depan.

Ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Mohd Manshahar Abdul Jalil berkata ini berdasarkan prestasi semasa atlet berusia 27 tahun itu yang mengungguli saingan Terbuka Singapura, hujung minggu lalu dengan mencatatkan balingan sejauh 59.15 meter (m).

"Catatan itu juga adalah catatan semusim terbaiknya. Jika berdasarkan ranking Sukan SEA, ia adalah catatan emas sekali gus memberikan petanda positif sebelum Sukan SEA Hanoi bermula.

"Saya harap dia mampu mengekalkan momentum itu dan menghasilkan kejayaan di Sukan SEA Hanoi nanti sekali gus mempertahankan emas yang dimenanginya sebelum ini," kata Manshahar kepada BH Sukan.

Irfan yang juga pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 62.55m yang dilakukan pada 2017, mula mendominasi saingan Sukan SEA sejak 2013 di Naypyidaw, Myanmar.

Kehebatannya di rantau Asia Tenggara nyata sukar digugar apabila terus menguasai acara berkenaan dalam tiga edisi berikutnya iaitu 2015 di Singapura, 2017 di Kuala Lumpur dan 2019 di Filipina.

Di Filipina, Irfan memastikan emas kekal menjadi miliknya selepas mencatatkan 57.29m mengatasi atlet tuan rumah, William Morrison yang berpuas hati dengan perak menerusi catatan 51.38m, diikuti Naroong Benjaroon dari Thailand yang meraih gangsa dengan 51.29m.

Berita Harian X