Jumaat, 15 April 2022 | 5:48pm
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah.

Shahidan antara disebut-sebut tanding presiden KOM

KUALA LUMPUR: Perebutan kerusi nombor satu Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dijangka 'panas' apabila beberapa individu dilaporkan berhasrat untuk mencabar penyandang jawatan presiden, Datuk SM Muthu dalam pemilihan yang dijadual berlangsung pada 12 Jun ini.

Difahamkan, tiga bekas presiden badan induk itu sedang mempertimbangkan untuk membuat kemunculan semula iaitu Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, Datuk Karim Ibrahim dan Datuk Syed Mohamad Aidid Syed Murtaza.

Shahidan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan adalah Presiden Persatuan Olahraga Amatur Perlis (POAPs) manakala Karim dan Syed Aidid masing-masing menerajui Persatuan Olahraga Perak (POP) dan Persatuan Olahraga Amatur Pulau Pinang (POAPP).

Selain itu, dua bekas timbalan presiden KOM turut dilaporkan berminat bagi bertanding untuk merebut jawatan nombor satu badan induk berkenaan iaitu Datuk Wan Hisham Wan Salleh yang juga Presiden Persatuan Olahraga Amatur Terengganu (POAT) dan Datuk Danyal Balagopal Abdullah.

Pada 2019, Muthu dipilih sebagai presiden baharu KOM bagi penggal 2019/2022 selepas menewaskan Karim yang juga penyandang jawatan ketika itu dengan kelebihan tiga undi. Muthu dilaporkan turut berhasrat untuk mempertahankan jawatannya itu pada pemilihan kali ini.

Menurut sumber, ahli gabungan KOM mahukan perubahan dalam pucuk pimpinan tertinggi badan induk itu selepas menyifatkan kepimpinan ketika ini gagal dalam melaksanakan tanggungjawab mereka untuk meningkatkan tahap sukan olahraga di negara ini.

Malah, kepimpinan sekarang didakwa gagal menangani dengan baik beberapa kemelut yang melanda membabitkan KOM dengan barisan atlet negara sehingga ramai menyuarakan rasa tidak puas hati mereka.

"Jadi, ahli gabungan merasakan sudah tiba masanya pemimpin baharu dilantik bagi meletakkan semula KOM di landasan yang betul sekali gus mengembalikan semula kecemerlangan sukan olahraga negara.

"Kita ada ramai atlet yang berpotensi tetapi kita perlukan pengurusan yang berkaliber untuk menerajui persatuan. Disebabkan terkilan dengan apa yang melanda KOM sekarang, ramai yang sedang mempertimbangkan untuk bertanding bagi membantu persatuan," kata sumber itu.

Berita Harian X