Isnin, 28 March 2022 | 5:40pm
Hup Wei (kiri) bersama jurulatih lompat tinggi negara Aleksandar Gasparyan ketika sidang media mengenai persaraannya di Stadium Majlis Sukan Negara Bukit Jalil semalam. - FOTO BERNAMA
Hup Wei (kiri) bersama jurulatih lompat tinggi negara Aleksandar Gasparyan ketika sidang media mengenai persaraannya di Stadium Majlis Sukan Negara Bukit Jalil semalam. - FOTO BERNAMA

Hup Wei contoh terbaik buat atlet muda

KUALA LUMPUR: Atlet muda diharap dapat menjadikan legenda lompat tinggi negara, Lee Hup Wei sebagai suri teladan mereka sekiranya ingin berjaya dalam acara sukan berkenaan.

Ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Manshahar Abdul Jalil berkata, Hup Wei mempunyai karakter, 'isi' serta perjalanan karier tersendiri yang mampu dijadikan sumber rujukan oleh atlet pelapis.

"Perjalanan dia (sebagai seorang atlet) memang jauh, daripada mula-mula menjadi atlet di bawah program sehinggalah ke peringkat antarabangsa dan ini membuktikan Hup Wei boleh dijadikan sebagai 'role model' (suri teladan).

"Dia juga boleh dianggap sebagai legenda lompat tinggi kerana sudah menyertai semua pertandingan daripada peringkat sekolah, daerah sehinggalah ke Sukan Olimpik.

"Jadi, saya rasa keseluruhan perjalanan untuk seorang atlet itu, dia ada.

"Saya anggap persaraannya itu, bukanlah satu kehilangan yang besar, tetapi sebagai seorang legenda yang boleh melatih atlet muda. Dengan pengalaman dimilikinya, dia boleh membentuk atlet muda sekali gus melahirkan atlet lompat tinggi yang setaraf dengannya atau lebih baik daripadanya," kata Manshahar.

Dalam satu sidang media semalam, Hup Wei, 34, mengumumkan persaraan dan menjadikan bidang kejurulatihan sebagai kariernya selepas 18 tahun menabur jasa sebagai seorang atlet.

Di sepanjang kariernya sebagai atlet, Hup Wei beraksi dalam tiga penampilan di Sukan Olimpik iaitu di Beijing 2008, London 2012 dan Tokyo 2020.

Dia juga menjadi menjadi atlet olahraga pertama negara layak beraksi di final Kejohanan Dunia dan muncul juara Kejohanan Asia pada 2007.

Atlet dari Kajang, Selangor itu turut pernah beraksi sebanyak tiga kali di Sukan Asia dan dua kali di Sukan Komanwel.

Berita Harian X